KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Safiey Illias didakwa memfailkan saman ganti rugi terhadap Beby Maembong sebanyak RM80 juta.

Safiey atau Mohd Safiuddin Ilias berkata, tindakan tersebut bagi menuntut ganti rugi selepas mendakwa kakak kepada pelakon Emma Maembong itu dipercayai menjatuhkan reputasi serta nama baik dirinya, syarikat dan ahli keluarganya.

“Saya membantu anda dalam klip lagu SYINTA GILA pada tahun 2018 tanpa sebarang bayaran untuk memasukkan placement logo syarikat anda,” tulisnya menerusi Instagram sambal memuat turun gambar dokumen tuntutan.

Dipercayai, tuntutan berkenaan bertitik tolak daripada satu hantaran di platform X milik Beby Maembong yang didakwa menuduh usahawan berkenaan disenaraihitamkan oleh pihak bank serta pihak-pihak lain.

Bertindak atas dakwaan tersebut, Safiey melalui firma guamannya telah mengeluarkan notis tuntutan rasmi bagi menyangkal dan menafikan kenyataan berkenaan yang dianggap sebagai fitnah tanpa fakta yang sahih.

Selain tuntutan wang ringgit, Safiey turut mengarahkan Beby Maembong untuk mengemukakan pelbagai dokumen peribadi dan perniagaan dalam tempoh tujuh hari.

Antara dokumen yang diminta termasuklah geran asal harta dan kenderaan, deklarasi harta, resit bayaran cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri dari tahun 2012 hingga 2025, rekod caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial pekerja selain dokumen berkaitan pendaftaran tanda dagang bagi jenama perniagaannya.

Dalam pada itu, Safiey turut meluahkan rasa terkilan apabila mengenangkan jasanya membantu perniagaan Beby Maembong secara percuma melalui penempatan logo syarikat dalam klip video lagu tularnya, ‘Syinta Gila’, pada tahun 2018 yang lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast