Bekas Ketua Balai Bomba Peramu, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 61, melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan beliau dilepaskan dan dibebaskan dari 10 pertuduhan membabitkan kes salah guna kuasa.

KUANTAN – Bersyukur dengan keputusan beliau bebas dan dilepaskan daripada 10 pertuduhan salah guna kuasa – Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin melakukan sujud syukur di luar Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.

Tiada apa yang boleh dizahirkan selain rasa bersyukur dengan keputusan mahkamah apablia tidak disabitkan kesalahan sejak tahun 2018 lalu.

Bekas Ketua Balai Bomba berusia 61 tahun sebelum itu menarik nafas lega selepas Hakim Samry Masri membacakan keputusan penghakiman di Mahkamah Tinggi sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala Sheikh Hassan diwakili G.Ravishankar.

Berita gembira kepada pesara itu meleraikan penantian beliau selama lebih tujuh tahun naik ke mahkamah.

“Selepas dihukum bersalah di Mahkamah Seksyen, peguam saya memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi. Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada peguam saya, rintihan selam tujuh tahun ini berakhir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bapa kepada anak tiga itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 setelah didapati bersalah atas 10 pertuduhan di Mahkamah Seksyen 2, Kuantan pada 16 Mac 2022.

Ketika dituduh, penjawat awam itu didapati melakukan kesalahan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

Sheikh Hassan didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama iaitu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast