Gambar hiasan

Oleh: Profesor Dr. Suriyani Muhamad

ISU kebolehpasaran graduan sering dilihat sebagai kegagalan institusi pendidikan tinggi. Namun, bukti empirikal dan data rasmi menunjukkan bahawa cabaran ini adalah isu yang memerlukan pendekatan dasar bersepadu, selari dengan aspirasi kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran graduan berada pada paras terkawal, iaitu sekitar 3.2%, menunjukkan bahawa majoriti graduan berjaya memasuki pasaran buruh (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2024). Cabaran utama bukan ketiadaan pekerjaan, tetapi ketidakpadanan kemahiran dengan struktur pekerjaan.

Fenomena skill-related underemployment yang mana lebih 32% graduan bekerja di bawah kelayakan mereka, mencerminkan keperluan untuk menyelaraskan pendidikan tinggi dengan transformasi ekonomi negara. Hakikat ini bukan unik kepada Malaysia.

Di United Kingdom, Amerika Syarikat dan banyak negara ASEAN, pertumbuhan sektor ekonomi bernilai tambah tinggi jauh lebih perlahan daripada kadar pengembangan pendidikan tinggi. Apabila ekonomi gagal menghasilkan cukup pekerjaan berkemahiran tinggi, lebihan graduan secara sistemik akan “turun kelas” ke dalam sektor separa mahir.

Isu sebenar ialah struktur pekerjaan
Underemployment ialah simptom kepada ekonomi yang masih bertumpu pada aktiviti bernilai tambah rendah. Sektor runcit, perkhidmatan asas, logistik dan pekerjaan pentadbiran berkembang lebih cepat daripada sektor teknologi, penyelidikan, industri kreatif, atau ekonomi hijau. Dalam keadaan ini, universiti boleh melahirkan graduan terbaik dunia, tetapi jika ekonomi tidak berkembang secara selari, ketidakpadanan tetap berlaku. Ini bukan masalah kualiti graduan, tetapi masalah permintaan pasaran buruh.

Bertentangan dengan persepsi awam, universiti Malaysia tidak lagi beroperasi dengan model lama. Buktinya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi 2015–2025) menekankan kebolehpasaran graduan adalah tanggungjawab bersama antara universiti, industri, dan kerajaan (KPT, 2015).

Dalam konteks ini, universiti telah dan sedang memainkan peranan penting melalui pelaksanaan pembelajaran berasaskan hasil, pengukuhan latihan industri dan pembelajaran bersepadu kerja, peluasan kolaborasi universiti–industri, dan penekanan terhadap kemahiran insaniah, kebolehkerjaan, dan kemahiran digital termasuk kecerdasan buatan (AI). Usaha ini sejajar dengan dasar KPT, yang mengiktiraf bahawa universiti bukan hanya mengeluarkan graduan dengan penekanan kepada pengajaran teori semata-mata, tetapi juga institusi strategik dalam membangunkan modal insan yang dapat beradaptasi dengan perubahan ekonomi dan teknologi.

Perbetulkan naratif terhadap universiti
Kerajaan memainkan peranan kritikal melalui dasar perindustrian, digitalisasi, dan ekonomi hijau dalam mencipta permintaan pekerjaan berkemahiran tinggi. Tanpa peluasan sektor ekonomi bernilai tambah tinggi, sistem pendidikan tinggi tidak dapat mencapai impak optimum, walaupun reformasi kurikulum dilaksanakan secara menyeluruh.

Penjajaran strategik antara pendidikan tinggi, inovasi, dan pembangunan industri perlu diperkemaskan dan dipergiatkan dari semasa ke semasa. Impak sebenar terhadap kebolehpasaran graduan hanya akan muncul apabila sektor ekonomi berkemahiran tinggi berkembang selari.

Selain itu, universiti juga mempunyai peranan strategik dalam menyediakan graduan menghadapi realiti pasaran kerja. Graduan perlu memahami struktur gaji, laluan kerjaya, mobiliti sektor, dan keperluan teknologi, termasuk kecerdasan buatan.

Oleh itu, naratif awam perlu digerakkan daripada meletakkan tanggungjawab semata-mata kepada universiti kepada sinergi dengan pihak berkepentingan bagi mengukuhkan kepercayaan terhadap reformasi berasaskan bukti yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan KPT. Universiti bukan punca masalah, tetapi rakan strategik utama dalam agenda pembangunan modal insan negara, memainkan peranan penting dalam memastikan graduan Malaysia mampu menyumbang secara bermakna kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan pembangunan lestari.

Dengan pendekatan bersepadu ini, graduan bukan sahaja memperoleh kemahiran akademik dan insaniah, tetapi juga kefahaman menyeluruh mengenai pasaran buruh, keperluan industri, peluang pertumbuhan kerjaya, dan literasi digital termasuk kemahiran kecerdasan buatan.

Universiti bukan “kilang ijazah” bahkan merupakan ekosistem pembentukan keupayaan: pemikiran kritis, adaptasi teknologi, literasi data, komunikasi, dan keupayaan pembelajaran sepanjang hayat. Namun keupayaan ini hanya bernilai jika wujud ekosistem ekonomi yang menyerapnya.

Tanggungjawab bersepadu
Isu kebolehpasaran graduan tidak boleh ditangani melalui pendekatan sempit atau menyalahkan universiti semata-mata. Ia memerlukan ekosistem yang bersinergi, melibatkan reformasi universiti untuk meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran, literasi kecerdasan buatan, pembangunan industri dan penciptaan pekerjaan bernilai tambah tinggi oleh kerajaan, kesedaran graduan terhadap realiti pasaran kerja dan keperluan teknologi masa depan.

Dengan pendekatan ini, Malaysia mampu melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran digitalisasi semasa, inovatif, dan berdaya saing di peringkat global, selari dengan aspirasi KPT dan visi negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Jika Malaysia mahu menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kita mesti membina lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi, bukan mengecilkan cita-cita pendidikan tinggi.

Penulis merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaysia Terengganu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast