Akmal Nasrullah menyampaikan sumbangan dalam Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Johor Tahun 2026 di Dewan Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan terus memperkukuh struktur ekonomi negara bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun perkembangan geopolitik antarabangsa berada di luar kawalan, Malaysia perlu bersedia daripada segi dalaman dengan memperkukuh asas ekonominya.

“Usaha kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada menarik pelaburan malah memberi perhatian kepada perbelanjaan rakyat serta pembangunan ekosistem ekonomi yang lebih kompleks dan mampan.

“Bagaimana kita meningkatkan lagi ekonomi itu supaya walaupun berlaku ketidaktentuan di luar negara ianya tidak memberi kesan langsung ataupun kesan yang mendadak kepada keadaan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Johor Tahun 2026 di Dewan Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, strategi utama kerajaan ketika ini berpaksikan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta kerangka Ekonomi Madami yang menekankan peningkatan pendapatan rakyat dan penambahbaikan tatakelola.

Menurut beliau, 2026 merupakan tahun pertama pelaksanaan RMK-13 yang telah dibentangkan pada tahun lalu dan cabaran terbesar kerajaan adalah memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Walaupun ada perkara yang memerlukan perancangan dan penelitian rapi, fokus kita adalah memastikan apa yang telah dipersetujui dalam RMK-13 dapat mula dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Beliau menegaskan, pelaksanaan berkesan RMK-13 akan menjadi asas penting bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang secara mampan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang tidak menentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast