Datuk Mohd Nazifuddin Najib

 

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian UMNO Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib mendakwa UMNO tidak dilayan sebagai rakan setara dalam Kerajaan Perpaduan dan perkara itu semakin jelas dirasai oleh parti itu.

Menurut anak kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan, parti itu dirunding ketika diperlukan, tetapi diketepikan selepas itu.

Dakwanya, UMNO juga digunakan apabila convenient, tetapi diabaikan apabila tidak lagi menguntungkan.

“Lebih menyakitkan, usaha keras dan komitmen ikhlas para menteri UMNO sepanjang hampir tiga tahun dalam kerajaan iaitu menjaga ekonomi, kestabilan dan kebajikan rakyat – tidak diterjemahkan kepada pertambahan sokongan atau undi kepada parti.

“Ini bukan kegagalan individu. Ini adalah kegagalan formula lama yang tidak lagi relevan dalam landskap politik baharu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal membuat keputusan meletak jawatan dalam Kerajaan Negeri Melaka tetapi mempertahankan jawatan dalam parti, ia bukan soal mencabar sesiapa.

Sebaliknya, ujar beliau, ia berkenaan soal pendirian, maruah parti dan kejujuran kepada ahli serta penyokong yang semakin lama semakin bertanya sama ada UMNO benar-benar bersedia untuk menang semula.

Tambah beliau, UMNO perlu bersatu sebagai satu kekuatan Melayu, tanpa perpecahan; sabotaj dalaman; ego kelompok atau membuka ruang untuk saling menjatuhkan.

“Jika kita bercakap tentang penyatuan Melayu untuk menang di setiap kerusi, itulah jalan ke hadapan UMNO. Itulah semangat tekad ummah.

“Bayangkan sebuah gabungan – jika bukan semua, sekurang-kurangnya majoriti besar orang Melayu yakni berada di bawah satu payung politik yang jelas dan tersusun.

“Inilah formula baharu untuk kestabilan Malaysia, bukan sekadar untuk satu pilihan raya, tetapi untuk 50 hingga 60 tahun akan datang,” katanya.

Tambah beliau, kaum Cina telah melakukannya melalui DAP dan hari ini, Pemuda UMNO sedang menghantar isyarat yang sama kepada orang Melayu iaitu sudah tiba masanya untuk bangkit, bersatu, dan menentukan masa depan sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast