KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menolak tafsiran cadangan Penyatuan Rumah Bangsa sebagai amaran kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, katanya, cadangan itu sebagai pendekatan terbaik untuk penyatuan bangsa umumnya dan Melayu, khususnya.
“Saya tak dengar pun presiden kata amaran. Presiden cuma kata seelok-eloknya, cara yang terbaik.
“Ucapan itu ucapan terbuka, (tentang) penyatuan bangsa. UMNO ini rumah terbuka, rumah bangsa terbuka,” katanya Ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Dalam masa yang sama, Menteri Besar Pahang itu turut melihat cadangan yang disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai strategi terbaik untuk memperkukuhkan kedudukan parti itu.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sesuai menyatukan orang Melayu berbanding payung besar yang didakwa gagal sebelum ini.
Dalam masa yang sama, katanya, gerakan payung besar itu gagal kerana tidak berpaut pada rumah asalnya iaitu UMNO.-MalaysiaGazette
















