KUALA LUMPUR – UMNO akan menentang sekeras-kerasnya sekiranya mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, kata jurucakap UMNO Perak, Datuk Dr. Azhar Ahmad.
Bagaimanapun beliau menegaskan, selagi parti itu (DAP) menghormati garis merah, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus berperanan sebagai benteng mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Katanya, konsep ‘payung besar’ yang sering diperkatakan oleh pembangkang bukanlah idea baharu, sebaliknya beliau mendakwa ia lahir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 susulan titah Yang di-Pertuan Agong ke-14 kerana menggesa penyatuan parti-parti Melayu demi kestabilan negara.
“Sejak pembentukan kerjasama politik selepas 2018, isu-isu lama seperti dakwaan DAP menghina Islam atau menghasut rakyat sudah tidak lagi timbul kerana wujud kerangka pentadbiran yang jelas serta sempadan prinsip yang perlu dipatuhi semua pihak.
“Ketika itu mereka (pembangkang) menolak, namun akhirnya idea ini meresap ke dalam pemikiran orang Melayu dan membawa kepada pemikiran baharu dalam landskap politik, termasuk dalam UMNO sendiri,” katanya yang juga Ketua Bahagian UMNO Beruas ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2025, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Azhar menegaskan, istilah ‘UMDAP’ juga bukan ciptaan DAP, malah, kerajaan yang wujud hari ini juga bukan kerajaan DAP semata-mata, sebaliknya merupakan gabungan Kerajaan BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Kerajaan ini bukan kerajaan DAP. Jadi persoalannya, kenapa kita perlu takut kepada DAP?” soalnya.
Beliau menambah, UMNO dan BN berfungsi sebagai garisan tengah yang menjadi perisai bagi menangkis sebarang unsur atau agenda yang bercanggah dengan asas kenegaraan.
“Selagi DAP tidak melanggar garis merah, tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara, UMNO akan mempertahankan kestabilan.
“Namun jika berlaku pelanggaran, saya yakin UMNO akan bangkit menentang tanpa kompromi,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















