Ketua Puteri UMNO Bahagian Papar, Ummi Nabilah Jamal menyampaikan perbahasan pada Persidangan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan UMNO digesa mempertimbangkan dengan serius supaya had umur keahlian pergerakan Puteri dilanjutkan daripada 35 kepada 40 tahun.

Perwakilan Puteri UMNO, Ummi Nabilah Jamal berkata, cadangan itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuhkan kelansungan dan kesiapsiagaan kepimpinan wanita muda bagi tempoh jangka panjang.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Sabah menambah, cadangan itu bukan disifatkan sebagai kepentingan peribadi atau nostalgia, sebaliknya berpaksikan keperluan masa depan parti dalam landskap politik yang kian mencabar serta kompetitif.

“Ada suara yang kata Puteri ni takda cerita lain, balik-balik cakap pasal usul 40 tahun. Sebenarnya kami pun penat juga balik-balik bawa benda yang sama, tapi semua pun diam ja buat sahaja.

“Kami bukan generasi yang cepat give up, tapi generasi yang tahu bila perlu stand-up. Memetik ucapan Timbalan Presiden UMNO yang lalu, UMNO perlu tinggalkan politik nostalgia dan mula melihat ke hadapan. Inilah yang Puteri ingin lakukan.

“Ini bukan soal legasi, tetapi demi survival Puteri 25 tahun yang akan datang. Maka Puteri sekali lagi membawa usul ini agar dilanjutkan dan jika diluluskan, kami boleh bina kepimpinan lebih matang, lebih bersedia dan demi parti yang lebih kuat!,” katanya.

Sebahagian Puteri UMNO yang hadir pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JANUARI 2026

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Tambah Ummi Nabilah, Puteri turut menggesa supaya sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita diketengahkan dalam pilihan raya akan datang sekali gus mengiktiraf keupayaan wanita yang mampu menyumpang secara signifikan kepada kemenangan parti.

Menurut beliau, calon wanita juga mampu memberi saingan dan memenangi pilihan raya umum seperti yang dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Sabah lalu.

Sebagai contoh, pada PRN Sabah katanya, hanya seorang daripada lima calon wanita yang hilang deposit berbanding calon lelaki iaitu seramai 11 calon daripada 40 kerusi.

“Ini membuktikan calon perempuan boleh menang mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi di pusat, negeri dan di bahagian.

“Tapi, kami mohonlah memberi bukan sekadar meletak sahaja untuk menyedapkan hati seperti melepaskan batuk di tangga, namun berikan kawasan yang betul-betul boleh menyumbang kepada kemenangan yang berasaskan kekuatan calon dan parti.

“Pandangan Puteri, kita kasi jadi lah 30 peratus penglibatan perempuan dalam pentadbiran. Pengundi perempuan adalah kuasa besar!,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast