Barisan Exco Pergerakan Puteri UMNO bersorak pada Persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Tuntutan Puteri UMNO berkenaan lanjutan usia keahlian sayap itu kepada 40 tahun dan pelaksanaan kuota 30 peratus calon wanita wajar difahami dalam kerangka lebih menyeluruh dan berfakta bukan dilihat secara sempit atau emosional.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata, realitinya, wanita memerlukan masa yang lebih panjang untuk membina pendidikan, kerjaya, kestabilan ekonomi dan keyakinan diri sebelum bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan politik.

Ujarnya, had usia 40 tahun bukan satu kemewahan tetapi satu keperluan struktur bagi melahirkan pemimpin wanita yang matang, berdaya saing dan berwibawa.

“Puteri UMNO bertegas soal ini kerana wanita muda hari ini sedang menilai parti politik yang benar-benar memberi ruang dan nilai kepada suara mereka.

“Sekiranya UMNO gagal memperkukuh ekosistem politik yang progresif dan mesra wanita muda, risiko kehilangan sokongan generasi ini kepada parti lain adalah nyata dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, penegasan kuota 30 peratus calon wanita muda pula bukan satu tuntutan melulu sebaliknya berpaksikan realiti data dan kedudukan sebenar negara.

Menurutnya, meskipun prinsip winnable seats dan winnable candidates tetap menjadi asas UMNO namun dalam kerangka itu, calon Puteri yang terbukti berkaliber, berakar umbi dan diterima masyarakat wajar diberi peluang di kerusi berpotensi bukan sekadar dijadikan simbol atau pelengkap angka.

Siti Nor Hassyati Abd Rahman.

Sementara itu, Setiausaha Puteri UMNO, Siti Nor Hassyati Abd Rahman berkata, cadangan menaikkan had umur kepada 40 tahun dan tuntutan 30 peratus calon wanita tidak lahir daripada nafsu jawatan atau kepentingan peribadi.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah ikhtiar agar tiang seri UMNO lebih matang dan sasa serta cukup berdaya menampung beban kepimpinan bagi dekad-dekad mendatang.

“Puteri juga mahu memastikan rumah warisan ini disegarkan dengan nafas pemodenan melalui pendigitalan dan perlindungan wanita agar anak muda hari ini tidak merasa terasing, bahkan merasa bangga untuk terus berteduh di bawah bumbung yang sama.

“Kita tidak mahu rumah ini hanya gah pada nama tetapi sunyi daripada suara generasi masa depan,” katanya.

Desakan supaya had usia keahlian Puteri kepada 40 tahun itu serta pelaksanaan kuota 30 peratus calon wanita muda mendominasi perbahasan sayap Pergerakan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang berakhir Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang ketetapan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan beliau, sekali gus mengundang rasa kecewa ahli-ahli dan pemimpin Puteri UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast