JOHOR BAHRU – Pembinaan masa depan negara bermula dengan usaha menyemai dan memupuk pemimpin pelajar bertaraf global yang bukan sahaja cemerlang intelektual malah berakar pada nilai, integriti dan tanggungjawab sosial.
Aspirasi ini yang menjadi nadi utama penganjuran Global Student Leadership Summit (GSLS) 2026 yang berlangsung pada 9 hingga 11 Januari serta Global Leadership Exchange for UTM Students (GLEXUS) pada 13 Januari di Jepun.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan dalam pembangunan kepimpinan pelajar berwawasan global, berteraskan nilai dan berintegriti.
Jelas UTM, penyertaan tersebut sebagai agenda strategik negara dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan masa depan yang berdaya saing di pentas antarabangsa.
“Berteraskan tema Nurturing Future Global Leaders, GSLS 2026 yang berlangsung di University of Tsukuba menghimpunkan pemimpin pelajar, tokoh akademik dan pembuat dasar dari pelbagai negara bagi membincangkan peranan belia dalam mendepani cabaran global abad ke-21.
“Persidangan ini berfungsi sebagai medan penting untuk membentuk pemimpin muda yang berdaya fikir strategik, berkeupayaan membuat keputusan berimpak serta mampu memimpin dalam persekitaran dunia yang semakin kompleks dan dinamik.
“Dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan sokongan inisiatif strategik UTM, GSLS berperanan sebagai platform berimpak tinggi dalam memperkasa kepimpinan pelajar melalui pendedahan akademik, dialog kepimpinan global serta pembinaan jaringan antarabangsa merentas negara dan disiplin ilmu,” maklum kenyataan tersebut.
Menurut UTM lagi, penganjuran persidangan berkenaan memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan bakat kepimpinan pelajar di peringkat global.
Majlis pembukaan GSLS disempurnakan oleh Zainal Azlan Mohd Nadzir iaitu Timbalan Ketua Perwakilan merangkap Menteri di Kedutaan Malaysia di Jepun, sekali gus mencerminkan sokongan diplomatik negara terhadap pembangunan bakat kepimpinan pelajar di peringkat antarabangsa.
Universiti tersebut memaklumkan, persidangan berprestij ini turut menampilkan tokoh akademik dunia termasuk Presiden University of Tsukuba, Prof. Nagata Kyosuke serta pakar inovasi Jepun, Prof. Yoshiyuki Sankai.
UTM turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menghantar sepuluh kertas kerja kajian pelajar dengan empat daripadanya terpilih untuk pembentangan di peringkat antarabangsa.
Pembentangan tersebut merangkumi tema kritikal seperti kecerdasan buatan, kelestarian, kesihatan mental belia, keusahawanan digital dan pemerkasaan sivik.
“Penyertaan ini bukan sahaja mengangkat keupayaan intelektual pelajar, malah memperlihatkan kematangan kepimpinan mahasiswa Malaysia dalam menangani isu global secara beretika dan berfakta.
“Lebih bermakna, persidangan ini turut menampilkan sesi Pocket Talk yang disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bertajuk From Innovation to Impact: AI Emerging Technologies for Social Good in the Asia-Pacific Region.”
Dalam sesi tersebut, beliau menegaskan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pemacu kemajuan industri, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian berimpak sosial yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperkukuh pembangunan serantau.
Penekanan itu menurutnya, selari aspirasi membentuk pemimpin pelajar yang bukan sahaja celik teknologi, malah beretika, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh.
Sementara itu, program GLEXUS pula memperkukuh dimensi kepimpinan berasaskan nilai menerusi dialog kepimpinan Jepun-ASEAN, perkongsian penyelidikan, inovasi teknologi serta penghayatan budaya dan adab masyarakat Jepun.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan menegaskan bahawa kemajuan teknologi dan inovasi hanya dapat berfungsi secara mampan apabila disokong oleh adab, disiplin dan nilai kemanusiaan yang kukuh.
“Program yang berlangsung di University of Tokyo ini menghimpunkan tokoh akademik, penyelidik dan pemimpin pelajar dari Malaysia dan Jepun sebagai usaha strategik untuk memupuk pemimpin global masa depan yang berkeupayaan memimpin dalam landskap dunia yang semakin saling bergantung.
“Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Kenji Tanaka dari Graduate School of Engineering, University of Tokyo yang menekankan kepentingan kerjasama rentas negara dalam membangunkan bakat kepimpinan belia Asia.”
Penyertaan berterusan pelajar Malaysia dalam program kepimpinan global seperti GSLS dan GLEXUS dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara dalam menyediakan barisan pemimpin muda yang berkeupayaan meneruskan kesinambungan kepimpinan nasional.
Tambah UTM, pendedahan antarabangsa seumpama itu penting dalam membentuk pemimpin pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki keupayaan membuat keputusan strategik, berkomunikasi merentas budaya serta memimpin dengan integriti dan tanggungjawab sosial.
Secara keseluruhan katanya, penganjuran GSLS dan GLEXUS 2026 bukan sekadar program pertukaran akademik, sebaliknya berfungsi sebagai platform strategik pembentukan karakter dan kepimpinan global dalam kalangan pelajar Malaysia.- MalaysiaGazette
















