KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) beriltizam memastikan program Sekolah Angkat DBP dilaksanakan secara berkesan, berimpak tinggi dan berterusan dengan sokongan padu Kementerian Pendidikan (KPM); pihak sekolah dan rakan-rakan strategik yang terlibat.
DBP dalam satu kenyataan berkata, usaha itu diharapkan dapat melahirkan penulis, ilmuwan dan pemimpin masa hadapan yang mampu memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurutnya, inisiatif itu akan melibatkan sebanyak 20 buah sekolah terpilih dan bertujuan melahirkan generasi bakat bahasa sejak usia muda dalam kalangan pelajar pelbagai kaum, bangsa dan agama.
“Program Sekolah Angkat DBP ini merupakan salah satu pendekatan strategik bagi memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan wahana perpaduan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam amanat tahun baharu 2026 KPM mengumumkan inisiatif Sekolah Angkat DBP bagi menyemai rasa bangga terhadap bahasa.
Turut diperkenalkan adalah Program Munsyi Muda untuk pelajar tingkatan empat hingga tingkatan enam di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA); sekolah berasrama penuh (SBP) dan tingkatan enam.
Sementara itu, DBP memaklumkan, menerusi program tersebut DBP akan melaksanakan pelbagai inisiatif pemartabatan bahasa dan sastera antaranya bimbingan penulisan kreatif dan akademik, pengucapan awam, kelab membaca DBP dan apresiasi kesusasteraan pemerkasaan profesionalisme guru.
Ujarnya, program itu turut melibatkan khidmat pakar bahasa, penulis, sasterawan negara dan tokoh bahasa sebagai mentor kepada murid dan guru. – MalaysiaGazette
















