Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Dua wanita yang merupakan penjaga kanak-kanak di sebuah tadika di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor direman lima hari susulan kes kanak-kanak didakwa dipukul di premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, permohonan reman dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kedua-dua wanita tersebut ditahan di tadika berkenaan hari ini selepas pihak polis menerima lima laporan berhubung kejadian itu, semalam.

Tambahnya, pihak polis turut menemukan satu rakaman video yang dipercayai menjadi bukti kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara Julai hingga Ogos tahun lalu dan melibatkan empat kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurut Mohd Hafiz, seorang lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu berkaitan kes berkenaan kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, siasatan masih diteruskan, sesiapa mempunyai maklumat bersabit kes ini diminta menghubungi Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Syahir Abdul Halim di talian 016-3423258. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast