KLUANG – Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menubuhkan satu unit Warden Lalu Lintas sebagai inisiatif strategik meningkatkan pengurusan trafik khususnya di kawasan tumpuan awam.
Yang DiPertua MPK, Fahmi Yahya berkata, unit berkenaan akan berfungsi semasa kesesakan lalu lintas dan berdepan masalah tempat letak kenderaan.
Langkah itu seiring dengan pembangunan pesat serta peningkatan ketara jumlah kenderaan di bandar ini.
“Ia termasuk keperluan terhadap perancangan lalu lintas yang lebih sistematik dan berkesan amat penting selain memupuk kesedaran dan disiplin masyarakat terhadap pematuhan peraturan jalan raya.
“Jabatan Penguatkuasaan MPK akan menguatkuasakan undang-undang serta memastikan pengurusan trafik dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Pelancaran Warden Lalu Lintas ini untuk memperkenalkan peranan dan fungsi warden kepada orang awam,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Warden Lalu Lintas di Wisma MPK di sini hari ini.
Beliau berkata, antara peranan utama Warden Lalu Lintas adalah membantu melancarkan pergerakan kenderaan berkaitan halangan akibat parkir tidak teratur yang merupakan antara isu utama yang sering diterima
Ia termasuk halangan terhadap laluan trafik, pejalan kaki dan laluan kecemasan bagi mengurangkan risiko keselamatan orang awam, katanya.
Menurut Fahmi lagi, Warden Lalu Lintas yang dilantik telah dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran mencukupi bagi mengawal trafik, memantau kawasan parkir serta berinteraksi dengan orang awam secara profesional dan berhemah.
Ujarnya, seramai 15 pegawai dan anggota dilantik pada peringkat awal bagi menjalankan kuasa di bawah Subseksyen 3(4B) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jumlah berkenaan, katanya, akan ditambah secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan dan keberkesanan pelaksanaan.
“Setiap warden juga memakai uniform rasmi berwarna biru muda yang lengkap dengan aksesori ditetapkan bagi memudahkan pengenalan oleh orang ramai.
“Harapan kita agar orang awam dapat bekerjasama dengan mematuhi arahan warden dan peraturan lalu lintas serta menyalurkan aduan atau cadangan melalui saluran rasmi MPK seperti talian hotline, aplikasi mudah alih dan media sosial,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama itu amat penting bagi memastikan pelaksanaan Warden Lalu Lintas mencapai matlamatnya dalam meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kelancaran trafik di daerah Kluang.- MalaysiaGazette
















