Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berpandangan mungkin wajar Datuk Wan Saiful Wan Jan; Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan `Geng SD’ mempertimbangkan cadangan menyertai Pas.

Menurutnya, ia bagi mengelak daripada terus terperangkap dalam politik yang tidak sihat dan saling menyalahkan di dalam Bersatu.

Jelasnya, seperti yang disebut menerusi program audio siar bersama Datuk Mohd Zaid Ibrahim bersama Wan Ahmad Fayhsal baru-baru ini, ia juga merupakan opsyen yang sangat baik dan boleh menjadi jalan keluar untuk mengharmonikan kembali keadaan di dalam Bersatu tanpa perlu terus berbalah atau bergaduh.

Terdahulu, Tun Faisal Ismail mendakwa antara faktor utama yang mencetuskan ketegangan hubungan antara Pas dan Bersatu adalah rakaman audio tular melibatkan Wan Saiful serta tindakan kumpulan yang dinamakan sebagai Geng SD.

Dakwa beliau, dalam rakaman audio itu, suara yang mirip suara Wan Saiful mendakwa pada 18 Februari 2025, terdapat lima pemimpin Pas bertemu lima pemimpin Bersatu dan menyatakan bahawa menyokong individu tertentu dalam Bersatu sebagai calon Perdana Menteri tetapi individu itu bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, dakwaan seperti itu sama ada benar atau palsu sememangnya berpotensi menimbulkan rasa kurang senang dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemimpin dan ahli-ahli Bersatu.

Ujar beliau, ia khususnya apabila dilihat seolah-olah campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman Bersatu, serta mengkhianati dan menikam Bersatu daripada belakang.

“Apatah lagi apabila dakwaan sokongan Pas terhadap individu tersebut dijadikan naratif untuk memujuk pimpinan Bersatu menandatangani SD dan menolak kepimpinan Muhyiddin,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah beliau, ketegangan hubungan Pas-Bersatu itu bertambah apabila tersebarnya surat Muhyiddin kepada presiden-presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) berkenaan kedudukan kepengerusian PN.

Dakwa beliau, kandungan surat yang bocor itu kemudiannya dimanipulasi sepenuhnya oleh Geng SD untuk menuduh Muhyiddin berbohong.

Sedangkan, ujarnya, jika dianalisis secara objektif dari sudut struktur dan implikasinya, kenyataan di dalam surat tersebut adalah logik, munasabah dan tiada asas untuk dianggap sebagai pembohongan.

“Hakikatnya, rakaman audio suara mirip Wan Saiful yang mendakwa Pas menyokong individu tertentu dalam Bersatu, insiden kebocoran surat yang amat aneh dan menimbulkan tanda tanya serta kenyataan-kenyataan oleh Geng SD yang dilihat bersungguh-sungguh memanipulasi kandungan surat yang dibocorkan tersebut merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada ketegangan hubungan antara Pas dan Bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast