Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) ketika ini didakwa berdepan pelbagai cabaran besar yang menekan kelangsungan operasi mereka.

Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, antaranya ialah peningkatan kos operasi, peraturan yang semakin ketat dan yuran market place yang membebankan.

Jelasnya, ini termasuk terpaksa bersaing dengan kemasukan produk import yang tidak mematuhi kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

“Lebih membimbangkan, produk tidak sah ini dijual secara terbuka melalui platform e-dagang utama, sekali gus mengelirukan pengguna dan mewujudkan persaingan tidak adil terhadap SME tempatan.

“Selain itu, SME turut menanggung pelbagai beban tambahan termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8 peratus ke atas sewaan komersial walaupun perniagaan mencatatkan kerugian, levi pekerja asing, kos stamping serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori yang mencecah ribuan ringgit bagi setiap pekerja,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihak SME juga berisiko dikenakan kompaun antara RM10,000 hingga RM50,000 akibat kelewatan melaporkan pekerja yang berhenti.

Mereka juga, katanya, berdepan kenaikan bil elektrik dan gas sekitar 15 hingga 20 peratus manakala pelaksanaan e-Invois pula memerlukan kos sistem antara RM5,000 hingga RM20,000 dengan peraturan yang kerap berubah tanpa sebarang pampasan kepada SME.

Sebaliknya ujar beliau, pelabur asing diberikan pelbagai insentif besar seperti pengecualian cukai selama 10 hingga 15 tahun, status perintis, zon bebas cukai, kadar sewaan rendah, subsidi tenaga serta proses kelulusan yang dipermudah melalui agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Tegasnya, ketidakseimbangan itu mewujudkan jurang yang ketara antara sokongan kepada pelabur asing dan keupayaan SME tempatan untuk bersaing secara adil.

“SME juga merupakan penggerak utama kepada produk buatan Malaysia. Setiap pilihan rakyat terhadap produk tempatan bukan sahaja menyokong kelangsungan perniagaan kecil, malah memastikan aspek kualiti, keselamatan produk dan peluang pekerjaan untuk anak tempatan terus terpelihara,” ujarnya.

Dengan sokongan yang setara, beliau berkata, produk buatan Malaysia berpotensi besar menembusi pasaran eksport dan mengangkat nama negara di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, Pejuang Johor menegaskan bahawa SME tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya menuntut padang persaingan yang sama rata.

Kerajaan perlu memastikan penjual luar negara mematuhi syarat yang sama seperti SME tempatan, marketplace bertanggungjawab menapis produk berisiko serta penipuan logo halal dan kelulusan KKM dibanteras dengan tindakan tegas, katanya.

“Struktur yuran marketplace juga mesti diumumkan secara telus dan ditetapkan pada kadar yang munasabah. Pada masa yang sama, SME tempatan wajar diberikan insentif yang setara dengan apa yang dinikmati oleh pelabur asing.

“SME adalah benteng ekonomi negara. Walaupun sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) amat besar, tahap eksport yang masih rendah jelas menunjukkan keperluan sokongan yang lebih kukuh dan menyeluruh.

“Tanpa SME yang berdaya saing, Malaysia tidak akan mampu mencapai aspirasi sebagai negara maju. Lindungi SME, lindungi produk buatan Malaysia dan lindungi ekonomi rakyat,” katanya.

Tambahnya, SME tempatan merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia dan mereka membentuk hampir 97 peratus daripada keseluruhan syarikat di negara ini dan menyumbang RM652.4 bilion kepada KDNK bersamaan 39.5 peratus pada 2024 dengan kadar pertumbuhan 5.8 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi nasional.

Namun begitu katanya, sumbangan SME kepada eksport negara masih rendah, sekitar 12 hingga 15 peratus daripada jumlah eksport Malaysia yang bernilai RM1.607 trilion pada 2025.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast