Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan beberapa sistem bersepadu bagi menyelaras maklumat penerima bantuan dan program keusahawanan bagi mengelak pertindihan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Mohamad Alamin berkata, penyelarasan itu dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Bersepadu PMKS atau SME Integrated Plan of Action (SMEIPA) yang dilaksanakan sejak 2006.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad Alamin, SMEIPA yang dilaksanakan melalui SME Corp Malaysia menjadi rujukan utama kerajaan bagi memastikan semua program pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diselaraskan secara bersepadu.

“Lima bidang tumpuan utama di bawah SMEIPA ialah akses kepada pembiayaan, pembangunan modal insan, penerapan teknologi dan inovasi, akses kepada pasaran serta infrastruktur,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan Laporan SMEIPA 2025, sebanyak 349 program pembangunan PMKS telah dilaksanakan dengan penglibatan 15 kementerian, 56 agensi dan 13 kerajaan negeri.

“Inisiatif ini melibatkan peruntukan keseluruhan RM30.34 bilion dan memberi manfaat kepada 613,511 PMKS di seluruh negara,” ujarnya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Kimanis itu, pencapaian pelaksanaan program turut dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan bagi memastikan pemantauan berterusan serta keberkesanan penggunaan dana kerajaan.

Pemantauan turut diperkukuhkan melalui penubuhan sekretariat khas bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan mengikut perancangan dan objektif ditetapkan.

Dalam masa sama, Mohamad Alamin berkata, KUSKOP telah membangunkan Sistem Pemantauan Program Keusahawanan (Entrepreneur Programme Monitoring System – EPMS) sebagai sistem pelaporan berpusat.

“EPMS membolehkan prestasi program keusahawanan dipantau secara masa nyata di peringkat kementerian dan agensi,” katanya.

Beliau berkata, sistem itu membantu meningkatkan ketelusan, kecekapan serta akauntabiliti dalam pengurusan dana dan pelaksanaan program bantuan.

Selain itu, beliau memaklumkan KUSKOP akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Repositori Usahawan Nasional (RUN) pada tahun ini.

“Kajian ini bertujuan mengintegrasikan pangkalan data sedia ada di semua agensi di bawah KUSKOP bagi membentuk satu hab data pusat yang komprehensif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast