Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia mengumumkan dua program pembiayaan khas bagi memperkukuh akses pembiayaan kepada usahawan mikro di seluruh negara.

Program pembiayaan itu merangkumi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) berjumlah RM50 juta sempena kehadiran bulan Ramadan oleh TEKUN serta Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) bernilai RM30 juta sempena Tahun Baharu Cina yang dilaksanakan oleh SME Corp.

Pelaksanaan kedua-dua program merupakan komitmen Kerajaan MADANI bagi membantu para peniaga sempena kehadiran perayaan utama di negara ini, kata satu kenyataan.

Ia juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan strategi ABCD yang diperkenalkan oleh KUSKOP dalam memastikan usahawan mikro untuk mendapatkan capaian akses modal dengan lebih mudah.

Di bawah BARAKAT, TEKUN menyediakan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan 3% setahun serta tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan yang bakal memberi manfaat kepada para peniaga dan penjaja kecil dalam sektor makanan dan minuman, pakaian serta barangan keperluan bagi menyokong aktiviti perniagaan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidil Fitri.

Sementara itu, Program BERKAT pula diuruskan oleh SME Corp yang menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan 3% setahun.

Program terbuka kepada perusahaan Mikro & Kecil milikan Cina dan pembiayaan akan disalurkan melalui platform Peer-to-Peer (P2P) CapBay yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

KUSKOP yakin bahawa akses pembiayaan yang lebih luas dan bersasar ini akan membantu usahawan mikro menjana pendapatan, mengekalkan kelangsungan perniagaan serta memanfaatkan peluang ekonomi sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast