Tom Felix (baju merah) dan keluarganya bergambar di KLIA.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah telah menguruskan penghantaran pulang seorang warganegara Perancis, Tom Felix, 34 tahun, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar baru-baru ini yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan berkaitan dadah.

JIM negeri itu berkata, lelaki itu selamat dihantar pulang ke Perancis melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelasnya, proses penghantaran pulang turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Menteri Dalam Negeri, Pejabat Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, pihak Mahkamah, Pendakwa Raya Negeri Kedah, Bahagian Pengurusan Depot JIM Putrajaya serta Jabatan Peguam Negara.

“Kerjasama ini memastikan semua urusan dokumentasi dan pengurusan sabjek mematuhi peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” kata JIM Kedah menerusi kenyataan.

Menurutnya, penghantaran pulang turut dipermudahkan dengan kehadiran wakil Kedutaan Perancis serta kedua-dua ibu bapa lelaki berkenaan.

“Jabatan Imigresen Malaysia kekal komited melaksanakan amanah yang diberikan selaras dengan undang-undang, di samping mengekalkan hubungan kerjasama yang baik dengan semua pihak berkepentingan,” tambahnya.

Sebagai rekod, kes yang menarik perhatian antarabangsa ini bermula pada tahun 2023 apabila lelaki yang merupakan bekas eksekutif di syarikat Veolia itu ditahan bersama rakan perniagaannya warga tempatan selepas pihak polis menemui 1.86 kilogram ganja di sebuah kediaman yang dikongsi oleh mereka berdua.

Kemudian, sejurus keputusan mahkamah dibuat pada tiga hari lalu, JIM Negeri Kedah telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan bantuan pengurusan dokumentasi perjalanan bagi memastikan proses penghantaran pulang Tom Felix ke negara asalnya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast