KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkongsi pengalaman pertama kali menghadiri Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor yang berlangsung Sabtu lalu.
Menurutnya, konvensyen itu memberi tumpuan ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), berlandaskan keyakinan terhadap pencapaian yang telah dibina bersama seluruh rakyat.
Katanya, Kerajaan Madani tidak bermula dari kosong, dan seluruh pentadbirannya sedang mengukuhkan asas untuk melangkah lebih jauh.
“Kerajaan hari ini sedang mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dengan peluang pekerjaan bergaji tinggi; pengagihan pendapatan yang lebih adil dan ekonomi berteraskan teknologi dan masa depan.
“Semua ini memerlukan masa, kestabilan dan kepimpinan yang konsisten,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan hari ini perlu dikekalkan untuk penggal seterusnya supaya perancangan yang telah disusun dapat dilaksanakan sepenuhnya, bukan terhenti di tengah jalan.
“Saya komited untuk membantu parti dan Perdana Menteri meyakinkan rakyat bahawa Malaysia berada di landasan yang betul dan kita mesti teruskan perjalanan ini,” katanya.
Pada 26 Julai tahun lalu, Tengku Zafrul diterima menyertai PKR dengan menjadi ahli Cabang Ampang.
Bliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO pada 30 Mei tahun lalu, sekali gus melepaskan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan ketua UMNO Kota Raja. – MalaysiaGazette
















