(Dari kiri ke kanan) Pengurus Kanan Komersial dan Pembangunan Perniagaan, Dotty’s Pastries and Coffee Kaylee Low; Pengasas dan Pengarah Dotty’s Pastries and Coffee, Nadia Nasimuddin; Pengarah Cili Kampung Malaysia, Anwar Azeez; Ketua Pegawai Pemasaran Cili Kampung Malaysia, Kesavan (KC) Purusotman, pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan pengambilalihan strategik 50 peratus pegangan saham Dotty’s Pastries and Coffee oleh Cili Kampung Malaysia.

KUALA LUMPUR – Cili Kampung Malaysia mengambil alih 50 peratus ekuiti dalam Dotty’s Pastries & Coffee Sdn. Bhd. bernilai RM23.9 juta.

Di bawah kerjasama itu, Cili Kampung melanggan sebanyak 11,956,234 saham baharu yang mewakili 50 peratus pegangan pemilikan dalam restoran dan bakeri itu.

Kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan bersama hari ini berkata, dana pertumbuhan berjumlah RM5 juta diperuntukkkan bagi mempercepatkan pelan pengembangan.

Pengarah Cili Kampung Malaysia, Anwar Azeez berkata, pengambilalihan 50 peratus pegangan dalam Dotty’s merupakan langkah strategik untuk menginstitusikan jenama yang telah mencorak budaya sajian sepanjang hari di Malaysia sejak sedekad lalu.

Tambahnya, pelaburan bernilai kira-kira RM24 juta itu mencerminkan keyakinan Cili Kampung terhadap ekuiti jenama, asas operasi, serta potensi pertumbuhan jangka panjang Dotty’s.

“Dengan penyelarasan disiplin operasi Cili Kampung dengan kekuatan artisanal Dotty’s, kami sedang membina platform yang lebih kukuh dalam segmen kafe artisanal Halal premium dan sajian Melayu moden.

Langkah ini meletakkan kedua-dua jenama pada kedudukan terbaik untuk mencapai pertumbuhan mampan di Malaysia dan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Dotty’s Pastries and Coffee, Nadia Nasimuddin menyifatkan kerjasama itu sebagai detik penting dalam evolusi jenama tersebut.

“Menjelang ulang tahun kesepuluh kami, perkongsian ini menyediakan struktur dan sokongan strategik untuk memacu Dotty’s daripada sebuah jenama bebas kepada peneraju pasaran nasional yang mempunyai kebolehskalaan luas.

“Dengan Cili Kampung sebagai rakan kongsi setara, fokus kami adalah terhadap pengembangan terkawal tanpa mengabaikan piawaian artisanal serta pengalaman hospitaliti yang telah menjadi identiti Dotty’s sejak awal penubuhanny,” katanya.

Pengambilalihan itu menyusuli pelancaran semula cawangan utama Dotty’s di Suria KLCC baru-baru ini yang menampilkan konsep kedai berwajah baharu bagi mengukuhkan kedudukan jenama tersebut di lokasi runcit premium bertrafik tinggi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast