KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi serta Jabatan Agama Islam digesa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti kumpulan Freemason yang didakwa cuba menyusup masuk ke dalam institusi awam.
Sekretariat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) turut mendesak tindakan perundangan diambil di bawah peruntukan sedia ada sekiranya aktiviti tersebut didapati menggugat ketenteraman awam atau menghina kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
Setiausaha Agungnya, Azizuddin Ahmad juga menggesa agar pengurusan tertinggi Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib yang tegas sekiranya dakwaan salah seorang pensyarah kanan universiti itu terlibat dengan aktiviti Freemason.
Tegas beliau, ini bagi memastikan pengaruh luar yang merosakkan tidak meresap ke dalam pemikiran mahasiswa.
“Pendidikan negara mestilah berpaksikan acuan nilai yang murni. Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana gerakan yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan tatanan sosial dan pegangan agama rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, WADAH akan terus konsisten memantau perkembangan isu ini demi memastikan kedaulatan agama dan keutuhan institusi pendidikan kita terus terpelihara. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















