YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud di Perdana Putra, Putrajaya. 12 Februari 2026. SHAHNAZ FAZLIE/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap negeri termasuk Kelantan diberikan perhatian sewajarnya dengan dasar dan tindakan yang berpaksikan kepentingan rakyat serta masa depan yang lebih terjamin untuk semua.

Terdahulu, perdana menteri menerusi laman sosial Facebooknya berkongsi menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya dalam mempergiat ikhtiar membantu rakyat Kelantan.

“Penekanan diberikan kepada peningkatan kesejahteraan hidup, peluasan peluang ekonomi serta pelaksanaan pembangunan yang adil dan seimbang,” katanya.

Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud di Perdana Putra, Putrajaya. 12 Februari 2026. Foto Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin menerusi laman sosial Facebook beliau turut berkongsi kunjungan hormat tersebut yang disifatkan beliau medan memperkukuh hubungan kerja antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan atas asas pentadbiran yang matang, berhemah dan berorientasikan solusi.

“Fokus kami jelas dalam semangat federalisme yang sihat, kerjasama ini dizahirkan dengan pendekatan profesional, saling menghormati bidang kuasa dan berkongsi tanggungjawab demi memastikan setiap inisiatif benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.

Tambah Mohd Nassuruddin, kerajaan yang matang bukan sekadar berbeza pandangan, tetapi tahu mencari titik persamaan demi maslahat bersama.

Ujar beliau, kerajaan negeri dan Persekutuan harus bergerak seiring, bukan untuk siapa yang lebih menonjol, tetapi untuk siapa yang lebih terbela.

“Akhirnya, segala perbincangan ini bermuara kepada satu tekad: memastikan manfaatnya dirasai sepenuhnya oleh rakyat, kerana kesejahteraan mereka adalah ukuran sebenar kejayaan pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast