JOHOR BAHRU – Akibat membuang puntung rokok merata-rata, seorang kontraktor warga tempatan terpaksa menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), di Stulang Laut, di sini hari ini.
Lelaki yang dikenali sebagai Tan, 52, mengakui menyesal dengan tabiat buruknya itu dan nekad membaiki dirinya untuk tidak mengulangi kesilapan sama.
“Saya maklum tentang pelaksanaan undang-undang (Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) ini sejak awal tahun, namun tak sangka pula saya antara yang dikenakan tindakan.
“Sebelum ini saya diberikan notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) oleh dua anggota Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Taman Universiti, pada 3 Januari lalu.
“Sebelum masuk kereta, saya sempat habiskan rokok dan membuangnya di jalan. Saya terkejut apabila ada anggota SWCorp datang mengetuk tingkap kereta saya.
“Apabila saya turunkan cermin kereta, mereka hanya tunjuk ke arah puntung rokok saya, saya sudah tahu mesti kena denda,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tan merupakan salah seorang daripada lima pesalah yang diperintahkan menjalani hukuman PKM selama enam jam, dua jam bagi setiap sesi yang perlu dilengkapkan dalam tempoh enam bulan.
Lelaki itu berkata, sejak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, pada 29 Januari lalu, dia sentiasa mengingatkan rakan dan keluarga jangan membuang sampah merata-rata agar tidak menjadi sepertinya yang terpaksa menjalani hukuman itu.
“Di mahkamah sesyen saya dikenakan denda RM500, hukuman PKM ini biasa bagi saya yang terbiasa buat kerja berat, namun sudah tentu saya tak akan ulanginya,” ujarnya.
Sementara itu, seorang warganegara Indonesia, Anita, 49, terkejut apabila dikenakan notis tersebut oleh anggota SWCorp ketika dia bersama-sama rakannya berada di pusat bandar ini menyambut tahun baharu.
Dia yang sudah 15 tahun berada di negeri ini tidak tahu-menahu mengenai pelaksanaan undang-undang tersebut yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.
“Ketika saya dan rakan-rakan mahu beredar, kami ditahan anggota SWCorp kira-kira pukul 1 pagi mengatakan saya membuang puntung rokok dan botol air.
“Kami sediakan beg plastik ke mana sahaja, mungkin terlepas pandang untuk membuang puntung rokok dan botol air itu. Sejak itu, saya kerap nasihat rakan dan Indonesia untuk tidak lakukan kesalahan yang sama,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















