JOHOR BAHRU – Seorang aktivis masyarakat maut seminggu sebelum diijab kabul selepas kemalangan ketika dalam perjalanan menziarah kubur arwah ibunya di Kebun Teh di sini baru-baru ini.
Menurut abang mangsa, Md Hairi Rahmat, 44, adiknya, arwah Md Hairol Rahmat, 42, kejadian berlaku di Jalan Tebrau di sini pada petang 24 Disember lalu.
“Dalam kejadian tersebut arwah terjatuh dari motosikal dan kemalangan akibat kecuaian seorang penunggang motosikal dan dia maut di tempat kejadian.
“Sepatutnya Md Hairol mendirikan rumah tangga bersama-sama tunangnya pada 1 Januari lalu namun apakan daya Hasratnya tidak kesampaian.
“Hanya tinggal kira-kira seminggu untuk berkahwin, dia dijemput Allah, kebiasaannya orang baik akan pergi dulu,” katanya ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Belantik di sini hari ini
Terdahulu keluarga arwah menerima kunjungan Timbalan Penguasa Skuad Sabil Negeri Johor, Nazri Tamyez dan Ketua Kampung Dato’ Sulaiman Menteri Mohd Zin Sungib.
Md Hairi berkata, difahamkan penunggang motosikal berkenaan sudah disaman namun terkilan kerana sehingga kini dia tidak tampil memohon maaf kepada keluarganya atas kejadian yang berlaku.
“Kami bukan berdendam namun mungkin ia mampu mengubati sedikit sebanyak luka di hati bapa yang semakin uzur,” katanya.
Dia berkata, kehilangan adiknya disifatkan satu kehilangan yang amat besar bagi keluarganya dan juga komuniti setempat kerana arwah suka membantu pihak yang dalam kesusahan.
“Mungkin Allah lebih menyayangi arwah adik kerana sikapnya yang gemar membantu masyarakat mahupun ahli keluarga,” katanya.
Md Hairi berkata, adiknya pernah menjaga arwah ibunya dan arwah kakaknya selain bapa mereka, Rahmat Sulaiman, 69, yang kini bergelar orang kurang upaya (OKU) di kediaman keluarganya di kampung itu.
Menurutnya, arwah adiknya juga sanggup mengorbankan pekerjaan tetapnya demi memberi jagaan kedua-duanya serta hanya bekerja sambilan dengan membantu rakannya berniaga secara dalam talian.
Katanya, malah pelbagai tanggungjawab dipikul tidak menghalangnya untuk berbakti kepada masyarakat setempat serta bergiat sebagai sukarelawan.
“Kami bertiga tinggal bersama-sama dan kebiasaannya selepas saya pulang dari tempat kerja, dia akan keluar rumah bagi melaksanakan pelbagai tugas sebagai sukarelawan,” katanya.
Jelasnya, ini termasuk bagi menjaga rumah pam di kampung itu selain menganjurkan aktiviti sukan bagi memupuk gaya hidup sihat untuk golongan remaja.
“Apabila di rumah, dia akan menyediakan makanan untuk bapa, memberi penjagaan sepenuhnya dan tugas itu dilakukan sejak kira-kira enam tahun apabila bapa menjadi lumpuh akibat terjatuh ketika bekerja.
“Sebelum itu dia memang memiliki pengalaman menjaga arwah ibu dan arwah kakak yang meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan,” katanya.
Md Hairi berkata, kini dia pula menjaga bapanya dan hanya bergantung dengan pencen penakat arwah ibunya sejumlah RM600 sebulan.
“Saya cuba membawa bapa yang berkerusi roda ke tempat kerja namun ini kurang sesuai dan bapa juga kurang selesa di situ kerana dia mudah letih.
“Bapa juga kurang selera untuk makan dan doktor mengesyorkan susu khas baginya namun sebuah tin yang berharga RM70 hanya mencukupi selama beberapa hari.
Begitu juga dengan lampin pakai buang, menelan kos lebih RM400 sebulan.
“Memang ini suatu ujian berat bagi saya namun saya reda demi Allah, ini saja yang saya mampu lakukan demi bapa dan arwah adik,” katanya.
Dia dalam proses memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan setakat ini masih belum memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana masih sibuk menjaga bapa.
Sementara itu, Nazri berkata, pihaknya menyampaikan sijil penghargaan kepada keluarga arwah atas jasanya selama ini.
“Sebagai sukarelawan Skuad Sabil Bahagian Pasir Gudang, arwah pernah menjayakan pelbagai program kemasyarakatan selain membantu mangsa banjir termasuk di Johor mahupun seluruh negara. Arwah pernah membantu komuniti, kini keluarganya memerlukan perhatian,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Md Hairi 151128171962.- MalaysiaGazette
















