Mohd Yusof (dua kiri) dan kariah menyiapkan bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai di Surau Batu 2, Kampung Tengai, Segamat.

SEGAMAT – Tradisi bubur lambuk lebih 50 tahun di Surau Batu 2, Kampung Tengai di sini diteruskan setiap kali Ramadan untuk dijadikan menu tambahan setiap kali berbuka.

Bagi kariah surau berkenaan, gotong-royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk bermula hari pertama Ramadan sehingga tamat sudah menjadi satu kelaziman dengan rasanya cuba dikekalkan secara turun temurun.

Pengerusi surau berkenaan, Mohd Yusof Abdul Majid berkata, kebiasaannya lebih 10 ahli kariah dan penduduk sekitar terlibat dalam proses memasak bubur lambuk berkenaan.

“Bermula seawal pukul 9 pagi golongan wanita hadir ke surau untuk menyediakan bahan-bahan untuk masakan bubur lambuk. Kemudian pihak lelaki pula sibuk memasak bubur lambuk.

“Setiap hari 10 kilogram beras digunakan untuk satu periuk bubur lambuk sebelum diedarkan kepada orang ramai selepas solat Asar,” katanya kepada pemberita.

Dia berkata, penduduk atau orang ramai yang singgah ke pekarangan surau datang membawa bekas masing-masing dan dalam masa satu jam sudah habis dan biasanya tidak cukup.

Menurut Mohd Yusof, pihaknya membelanjakan RM15,000 hasil sumbangan orang ramai untuk masak bubur lambuk dalam tempoh sebulan.

Tambahnya, usaha itu sangat bermakna dalam menyemarakkan semangat Ramadan di samping mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menghidupkan budaya gotong-royong. Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast