KUALA LUMPUR – Empat Ahli Parlimen PKR menggesa kerajaan menggantung serta-merta semua langkah dan proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Ia susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang memutuskan tarif dikenakan Presiden Donald Trump sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan negara itu.
Mereka menegaskan, keputusan mahkamah tertinggi AS itu memberi implikasi langsung terhadap kesahihan ART yang telah dirunding dan ditandatangani sekali gus menuntut penelitian semula secara menyeluruh oleh kerajaan.
“Kami, ahli-ahli Parlimen yang bertandatangan di bawah, ingin menasihati Kerajaan Madani mengenai perkara-perkara berikut berkaitan dengan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Jumaat lalu bahawa tarif yang dikenakan oleh Presiden Trump adalah, pada hakikatnya, tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan,” menurut kenyataan bersama itu.
Kenyataan berkenaan ditandatangani Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan mendedahkan secara terbuka dan terperinci semua langkah serta proses ratifikasi yang dirancang berhubung ART selain menghentikan serta-merta sebarang tindakan lanjut berkaitan perjanjian tersebut.
“Menggantung serta-merta semua langkah dan proses ratifikasi ART, memandangkan keputusan Mahkamah Agung AS bahawa semua tarif tersebut adalah, pada hakikatnya, tidak sah dan justeru, ART juga seharusnya dianggap tidak sah secara ab initio,” kata mereka.
Selain penggantungan, mereka turut mendesak Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan pendapat undang-undang mengenai kesahihan ART susulan keputusan mahkamah berkenaan dan membentangkannya kepada semua Ahli Parlimen bagi memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban.
Dalam masa sama, mereka mahu kerajaan menjelaskan implikasi kos dan manfaat susulan pengumuman tarif global baharu sebanyak 15 peratus oleh Trump, yang hanya berkuat kuasa selama 150 hari dan berkemungkinan tertakluk kepada cabaran undang-undang lanjut di Mahkamah Agung Amerika Syarikat.
Keempat-empat wakil rakyat itu juga menuntut penjelasan mengenai potensi pemulangan semula tarif berjumlah berbilion dolar serta jaminan bahawa pengeksport Malaysia yang telah menanggung bayaran berkaitan turut menerima pemulangan sewajarnya.
“Mengambil maklum bahawa Perdana Menteri berhasrat untuk melawat Presiden Trump di Washington pada bulan-bulan yang akan datang.
“Kami ingin menasihati Perdana Menteri agar lebih berhati-hati dan tidak membuat komitmen atau menandatangani sebarang perjanjian perdagangan atau terma lanjut yang boleh terus menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara kita,” tegas mereka.
Pada masa sama, mereka mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat proses rundingan dan pemeteraian ART, demi memastikan kepentingan negara sentiasa dilindungi dan sebarang kelemahan ditangani secara telus. — MalaysiaGazette
















