Plantation workers carry out oil palm fruit harvesting at FGV Moakil 07 Estate in Segamat, Johor. Photo by Fareez Fadzil, 25 September 2024.

KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit diunjurkan untuk bergerak secara mendatar dalam julat RM4,000 hingga RM4,300 setiap tan pada Mac disokong permintaan India yang semakin baik serta pengukuhan harga minyak kacang soya Amerika Syarikat (AS).

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia menurun secara bermusim kepada 1.58 juta tan pada Januari, susut 13.8% bulan ke bulan.

Sementara itu, eksport meningkat kepada 1.48 juta tan, naik 11.4% berbanding Disember, sekali gus mencatatkan jumlah eksport bulanan kedua tertinggi dalam tempoh 12 bulan lalu.

Peningkatan eksport ini didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih kukuh dari India dan Mesir, dengan penghantaran ke India mencapai paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan, manakala eksport ke Mesir meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan.

Menurutnya, asas pasaran minyak sawit juga dijangka bertambah baik secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang.

Eksport Malaysia yang lebih kukuh pada suku pertama serta langkah Indonesia mempercepatkan penghantaran sebelum kenaikan levi eksport pada Mac dijangka mengurangkan paras inventori minyak sawit di kedua-dua negara.

Dari segi permintaan, India dijangka mengalihkan semula penggunaan kepada minyak sawit berikutan daya saing harga yang bertambah baik sejak akhir 2025.

Penggunaan minyak sawit di India diramalkan meningkat sebanyak 800,000 tan pada 2026, manakala penggunaan minyak kacang soya dan minyak bunga matahari dijangka menurun secara gabungan sebanyak 400,000 tan.

Data Januari 2026 mencerminkan peralihan ini, dengan import minyak sawit India meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan, sementara import minyak kacang soya merosot ke paras terendah dalam tempoh 11 bulan.

Menurut MPOC, di peringkat global, harga minyak sayuran kekal disokong dengan baik pada Februari, didorong oleh optimisme terhadap dasar biofuel Amerika Syarikat dan harga minyak mentah yang lebih kukuh di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara AS dan Iran.

Harga minyak mentah Brent melonjak semula 17% setakat tahun ini kepada AS$72 pada Februari, manakala harga empat minyak sayuran utama meningkat antara 1% hingga 7% dalam tempoh yang sama.

Selain itu, katanya, optimisme terhadap dasar biofuel AS, yang memihak kepada minyak kacang soya keluaran domestik, turut menaikkan harga. Harga minyak kacang soya AS melonjak 17% pada Februari, diniagakan pada premium ketara sebanyak AS$172 berbanding minyak kacang soya asal Argentina.

Kekuatan berterusan harga minyak kacang soya AS dijangka terus memberikan sokongan kepada harga minyak sawit, tambahnya.

Walaupun faktor-faktor sokongan ini wujud, potensi kenaikan harga minyak sawit mungkin sebahagiannya dihadkan oleh peningkatan aktiviti penghancuran kacang soya, khususnya di China.

Negara itu menjadi pengeksport bersih minyak kacang soya buat kali pertama pada 2025 dan dijangka mengekalkan kedudukan tersebut pada 2026, dengan eksport diunjurkan sekitar 850,000 tan.

India menyumbang hampir separuh daripada eksport minyak kacang soya China tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast