KUALA LUMPUR – Tindakan pembekuan akaun bank syarikat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) perlu dikendalikan dengan pemantauan dan pemerhatian yang lebih ketat.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan itu tidak boleh mengabaikan kesan buruk terhadap operasi syarikat dan harga saham yang akhirnya memangsakan pelabur.
Beliau memberikan contoh dalam kes melibatkan Kelly Holdings Berhad pada 2022 yang mana semua akaun operasi syarikat itu dibekukan, sekali gus melumpuhkan keupayaan syarikat untuk membuat bayaran termasuk gaji dan kepada pembekal.
Jelasnya, kesan terhadap syarikat itu juga amat dahsyat yang mana nilai sahamnya merudum sebanyak 33 peratus pada awal 2023 apabila syarikat itu memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menamatkan siasatan tanpa sebarang pertuduhan dan akaun syarikat dibuka semula.
Situasi sama, tambah beliau, turut melibatkan Rohas Tecnic Bhd apabila beberapa akaun bank milik syarikat itu dan anak-anak syarikatnya dibeku dan disita pada tahun lalu, sebelum perintah itu ditarik semula kemudiannya.
“Gangguan seperti ini tidak sepatutnya berlaku tanpa asas yang kukuh. Syarikat-syarikt ini bukan milik peribadi pengarah secara mutlak.
“Sebaliknya, ia adalah milik awam dan rakyat, jadi apabila akaun dibekukan secara total tanpa cek and balance yang telus, maka ada kesan yang perlu ditanggung.
“Antaranya operasi perniagaan terbantut, keyakinan pelaburan hilang dan harga saham merudum, malah pelabur runcit juga rugi besar walaupun mereka tidak bersalah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, Ka Siong berpandangan meskipun siasatan di bawah AMLA perlu diteruskan, namun ia wajar bersifat bersasar dan profesional.
Jelasnya, tindakan tidak boleh dilihat seolah-olah `mahu menghapuskan seekor dua nyamuk, kelambu ekonomi rakyat habis dibakar’.
“Kita perlukan reformasi dalam pelaksanaan AMLA demi menjaga integriti pasaran modal kita, ini juga untuk kepentingan ekonomi negara dan yang lebih penting untuk kebaikan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















