Datuk Mohd Syafiq Abdullah berucap dalam Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat milik penuh bumiputera, VFive Group Sdn. Bhd. (VFive) secara rasmi melancarkan pelaksanaan strategi jangka panjang bagi meletakkan organisasi itu pada landasan lebih kukuh untuk terus mencapai daya tahan dan kelangsungan mampan.

Pelancaran strategi itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah dalam Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Mohd Syafiq, VFive tidak lagi melihat kejayaan dalam kerangka jangka pendek semata-mata, sebaliknya mahu memposisikan syarikat itu sebagai sebuah konglomerat yang kekal kompetitif untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang.

Datuk Mohd Syafiq Abdullah.

Katanya, fokus VFive kini adalah memastikan syarikat itu berkembang secara konsisten dan berstruktur supaya terus relevan dan memberi impak merentas generasi.

“Untuk mencapai matlamat tersebut strategi perniagaan, tadbir urus yang baik, kestabilan kewangan dan pembangunan modal insan perlu bergerak secara seimbang dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Strategi syarikat itu akan digerakkan melalui lima pemacu utama yang menjadi kerangka baharu hala tuju syarikat merangkumi strategi Arah Tuju; Kecemerlangan Operasi; Kemampanan Kewangan; Kepimpinan dan Bakat serta Tadbir Urus dan Integriti.

Menariknya, menurut Mohd Syafiq, keseluruhan kerangka jangka panjang itu diinspirasikan daripada lima Rukun Islam yang menjadi asas pembentukan nilai dalaman organisasi.

Malah, ujarnya, nama “VFive” sendiri diilhamkan daripada lima prinsip tersebut yang diterjemahkan ke dalam budaya kerja dan pendekatan kepimpinan.

“Lima Rukun Islam menekankan integriti, disiplin, tanggungjawab sosial dan komitmen jangka panjang. Nilai-nilai spiritual ini menjadi asas dalam membentuk budaya kerja serta pengurusan VFive Group yang berprinsip,” jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Syafiq menambah, gabungan strategi korporat yang progresif dengan sistem nilai yang cemerlang merupakan asas utama dalam membina organisasi yang mampu bertahan merentas generasi.

Katanya, pertumbuhan syarikat perlu disokong oleh prinsip yang kukuh, manakala prinsip pula perlu diterjemahkan melalui strategi yang jelas.

“Gabungan kedua-duanya penting dalam memastikan organisasi mampu bertahan dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Tambah beliau, melalui pelaksanaan lima pemacu strategik dan pengukuhan prinsip nilai itu, VFive Group menyasarkan untuk muncul sebagai organisasi yang bukan sahaja mencatat kejayaan komersial, tetapi turut menyumbang secara konsisten kepada pembangunan industri dan kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast