Dr Zaini Abu Bakar

JOHOR BAHRU – Membenarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan bagi membayar premium insurans adalah tidak wajar dan dilihat lebih menguntungkan syarikat insurans.

Setiausaha Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Dr Zaini Abu Bakar berkata, malah langkah itu yang akan menguntungkan syarikat insurans bawah skim Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) bercanggah dengan realiti semasa majoriti pencarum.

“Data KWSP menunjukkan hanya 38.3 peratus daripada 7.44 juta ahli aktif berumur 18 hingga 55 tahun mencapai tahap simpanan asas RM240,000 pada usia 55 tahun.

“Ini bermakna lebih 60 peratus pencarum masih gagal mencapai paras minimum simpanan untuk hari tua. Dalam keadaan sebegini, adalah tidak wajar untuk membenarkan simpanan KWSP digunakan bagi membayar premium insurans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihaknya tidak menentang sebaliknya menyambut baik usaha kerajaan dan KWSP untuk memperluas akses rakyat kepada perlindungan kesihatan.

“Kami mengambil maklum cadangan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn yang menyatakan bahawa Akaun Sejahtera (Akaun 2) boleh digunakan untuk membeli polisi insurans kesihatan melalui platform i-Lindung.

“Langkah ini dikatakan tidak menjejaskan kecukupan simpanan persaraan kerana pengiraan dibuat berdasarkan Akaun Persaraan (Akaun 1),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan entiti paling sesuai untuk berperanan sebagai penyedia insurans berkumpulan kepada pekerja dengan penambahbaikan Perkeso Lindung 24/7 melalui struktur kesihatan sedia ada.

Katanya, penubuhan Amanah Insurans Kesihatan Kebangsaan (NHIT) dengan Perkeso sebagai salah satu entiti di bawahnya akan membolehkan kawalan harga rawatan swasta termasuk caj doktor dan ubat-ubatan dilaksanakan secara berpusat dan lebih berkesan.

Pendekatan itu, kata Zaini, bukan sahaja mampu mengekang kenaikan kos kesihatan, malah memperluas akses rakyat ke fasiliti swasta pada kadar terkawal sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital awam.

Pejuang Johor turut menegaskan bahawa pekerja masih boleh memilih perlindungan tambahan dengan menambah premium secara sukarela daripada pendapatan bulanan masing-masing.

Pendekatan itu memastikan setiap pekerja di Malaysia memperoleh perlindungan asas kesihatan yang adil dan menyeluruh, sambil memberi ruang kepada mereka yang berkemampuan untuk meningkatkan tahap perlindungan mengikut keperluan.

Jelasnya, perlindungan berpusat melalui Perkeso juga akan mengurangkan kebergantungan kepada premium insurans peribadi yang tinggi, di samping memastikan pekerja terus dilindungi termasuk melalui Skim Insurans Pekerja (EIS) sehingga enam bulan sekiranya kehilangan pekerjaan.

Pejuang Johor mengalu-alukan segala usaha KWSP yang mampu meningkatkan pulangan kepada pencarum melalui strategi pelaburan yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

Tambahnya, petunjuk prestasi utama (KPI) KWSP sewajarnya tertumpu kepada usaha memaksimumkan dividen tahunan kepada pencarum, bukannya menyalurkan simpanan pekerja kepada syarikat insurans swasta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast