Suasana Raya merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board yang turut menampilkan penggambaran muzik video di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim di sekitar Hong Kong.

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, dua ikon ternama industri muzik tempatan, Ernie Zakri dan Syamel kembali bergabung menerusi single raya terbaharu berjudul Suasana Raya.

Lagu itu merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board yang turut menampilkan penggambaran muzik video di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim di sekitar Hong Kong.

Menampilkan gabungan melodi klasik raya, lirik yang menyentuh jiwa serta keserasian vokal kedua-dua penyanyi ini, Suasana Raya merakamkan keindahan pagi Syawal yang penuh ketenangan, kesyukuran dan kebersamaan keluarga.

Lagu ini bukan sekadar hiburan perayaan, malah menjadi runut bunyi yang menghidupkan semula memori indah Aidilfitri yang dirindui ramai.

Kolaborasi bersama Hong Kong Tourism Board membawa dimensi visual yang segar kepada lagu ini, dengan latar lokasi yang moden, meriah serta mesra Muslim.

Menurut Ernie, Hong Kong merupakan destinasi yang sangat sesuai dengan konsep lagu dan video muzik ini.

“Hong Kong sangat sesuai kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen. Kami juga berpeluang melawat tempat ibadah seperti Kowloon Mosque.

“Selain itu, terdapat banyak tarikan pelancongan mesra keluarga seperti Ocean Park, dan ia menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna apabila kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga di sana,” jelasnya.

Penggambaran muzik video Suasana Raya diadakan di beberapa lokasi menarik di Hong Kong.

Suasana bandar Hong Kong yang vibran dan dinamik turut menjadi inspirasi kepada konsep keseluruhan video muzik tersebut.

“Suasana di Hong Kong sangat meriah dan penuh warna dan kami mahu peminat merasai vibe yang sama melalui Suasana Raya.

“Budaya dan persekitaran di sana memberikan elemen visual yang moden dan unik, selari dengan lagu ini yang menggabungkan elemen raya tradisional dan moden,” tambah Syamel dan Ernie.

Dikenali dengan lagu-lagu balada yang penuh emosi, Ernie,33, menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza.

“Lagu ini sangat fun dan santai. Apabila merakamkannya bersama Syamel, proses itu menjadi lebih mudah dan penuh keseronokan, dan kami dapat benar-benar menikmati setiap momen,” kata ibu kepada Nur Khawla Soleha.

Bagi Syamel, 32, pula, kekuatan utama lagu itu terletak pada melodinya yang catchy dan cukup sinonim dengan kemeriahan suasana perayaan.

“Suasana Raya sangat catchy dan memang kena dengan mood Hari Raya. Ia adalah lagu yang sesuai didengarkan ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast