Sheikh Umar Bagharib Ali.

JOHOR BAHRU – Dakwah dalam masyarakat majmuk memerlukan kesepaduan ilmu, keberanian, kebijaksanaan dan hikmah.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, tanpa faktor tersebut khususnya berkenaan hikmah, keberanian boleh berubah menjadi provokasi.

Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, tanpa kebijaksanaan juga semangat dakwah boleh bertukar menjadi konflik yang tidak membawa manfaat.

“Akhirnya, matlamat dakwah bukan sekadar untuk menang dalam perdebatan, tetapi untuk membuka hati manusia kepada kebenaran.

“Dan dalam masyarakat seperti Malaysia, hikmah bukan sekadar pilihan dalam dakwah, ia adalah keperluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kontroversi berkenaan dakwah yang timbul hari ini sepatutnya menjadi ruang muhasabah kepada semua pihak.

Katanya, kebelakangan ini timbul polemik berkaitan tindakan aktivis, Zamri Vinoth yang didakwa terlibat dalam kontroversi himpunan berkaitan isu kuil berhampiran Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

Beliau berkata, isu tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi khususnya kerana menyentuh sensitiviti hubungan antara agama dalam negara ini.

Menurutnya, pendekatan Zamri menerusi perbandingan agama secara debat dan syarahan terbuka, membandingkan teks agama bagi mempertahankan akidah Islam dan menjawab pelbagai dakwaan terhadap agama Islam, turut dilakukan tokoh Islam lain.

“Pendekatan seperti ini pada suatu ketika memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa akidah mereka mempunyai asas hujah yang kukuh.

“Namun, dalam masa yang sama, pendekatan bersifat polemik atau konfrontatif juga mempunyai risiko besar apabila diaplikasikan tanpa kebijaksanaan konteks,” katanya lagi.

Menurut beliau, hidup bermasyarakat di Malaysia bukan homogen sebaliknya semua pihak hidup dalam negara yang dihuni pelbagai kaum dan menganuti agama berbeza.

“Hubungan sosial antara komuniti bukan sekadar hubungan kejiranan, tetapi turut mempengaruhi kestabilan negara.

“Dalam keadaan seperti ini, sebarang tindakan yang dilihat sebagai provokatif terhadap agama lain boleh dengan mudah menimbulkan ketegangan antara komuniti,” katanya.

Isu berkaitan rumah ibadat yang tidak mempunyai kelulusan sah kata beliau, sememangnya boleh wujud dalam mana-mana masyarakat apatah lagi di negara majmuk.

Namun, katanya, isu tersebut sewajarnya ditangani melalui saluran undang-undang dan pentadbiran, bukan melalui pendekatan yang boleh menimbulkan sentimen agama secara terbuka.

Apabila sesuatu isu pentadbiran berubah menjadi konflik identiti agama, Sheikh Umar berkata, kesannya boleh menjadi jauh lebih besar dan hodoh daripada isu asal.

Beliau berpendapat, pendekatan terlalu keras atau provokatif mungkin memberi kepuasan kepada penyokong sendiri, tetapi dalam jangka panjang akan menutup pintu dakwah kepada masyarakat yang lebih luas.

“Umat Islam tidak perlu berasa lemah untuk mempertahankan akidah mereka, Islam mempunyai asas hujah yang kukuh dan sejarah intelektual yang panjang.

“Namun, Islam juga mengajar bahawa hikmah adalah sebahagian daripada kekuatan dakwah itu sendiri,” jelasnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast