KUALA LUMPUR – UMNO Sabah menyifatkan pendekatan membuka pintu parti itu kepada bekas ahli untuk kembali bukan sahaja menunjukkan kematangan politik UMNO, malah mencerminkan kerendahan diri parti.
Pengerusinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, ia juga merupakan usaha dalam menyatukan kembali kekuatan dan perpaduan rakyat demi masa depan negara.
Menurut beliau, dalam konteks politik semasa yang semakin mencabar, usaha penyatuan itu merupakan langkah penting untuk menguatkan organisasi serta menghimpunkan semula pengalaman dan kekuatan politik dalam UMNO.
“Bagi Sabah, kestabilan politik serta hubungan dengan parti nasional yang mempunyai pengalaman pentadbiran amat penting bagi memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan dalam kerangka Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama.
Katanya, sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya.
Sementara itu, Jafry menambah, pendekatan terbuka itu juga mencerminkan kematangan UMNO sebagai sebuah institusi politik yang sentiasa bersedia memperkukuh semula saf perjuangan secara matang, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan.
“Saya berharap usaha ini dapat memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli serta memperluas peranan UMNO dalam agenda pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















