Wan Anwar Wan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Musyawarah isu-isu Islam dan bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO baru-baru ini harus dilihat sebagai satu perkembangan yang matang dalam landskap politik negara.

Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pertemuan pemimpin Islam, Melayu dan bumiputera itu membuktikan kepentingan umat tidak pernah dipinggirkan walaupun berbeza ideologi dan pendekatan politik.

“Hakikatnya, kebimbangan sebahagian masyarakat Melayu tentang perpecahan politik sering dipergunakan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan rasa cemas seolah-olah orang Melayu dan bumiputera berada dalam keadaan terancam.

“Naratif seperti ini tidak membantu membina kekuatan umat, malah hanya mengekalkan politik ketakutan yang tidak produktif,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera menyertai Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn kelmarin.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti terlibat adalah Pas, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Wan Anwar berkata, ruang pertemuan dan dialog sentiasa wujud apabila menyentuh kepentingan Islam, kedudukan Melayu dan masa depan bumiputera.

“Walaupun parti-parti politik bersaing dalam pilihan raya, apabila menyentuh musyawarah ini memperlihatkan kematangan politik semakin berkembang dalam kalangan pimpinan.

“Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya diterjemahkan sebagai perpecahan umat.

“Sebaliknya, perbezaan itu boleh menjadi sumber kekuatan jika diurus melalui perbincangan terbuka, rasional dan berasaskan kepentingan bersama,” katanya.

Selain itu, katanya, penubuhan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera yang dipersetujui dalam pertemuan tersebut merupakan langkah penting ke arah memperkukuh budaya dialog antara parti.

Menurutnnya, platform itu berpotensi menjadi ruang perundingan berterusan bagi membincangkan isu-isu strategik yang menyentuh kedudukan Islam, kesejahteraan masyarakat Melayu serta pembangunan bumiputera secara lebih tersusun dan berhemah.

“Masyarakat Melayu dan bumiputera tidak seharusnya terperangkap dengan naratif sempit bahawa perpaduan hanya boleh dicapai melalui satu parti atau satu blok politik semata-mata,” jelasnya.

Beliau berkata, kekuatan umat bukan terletak pada keseragaman politik tetapi pada kemampuan membina kesepakatan dalam perkara-perkara asas yang menyentuh kepentingan bersama.

“Malah di negara-negara maju wujudnya banyak kumpulan atau parti politik bukanlah penyebab kepada perpecahan tetapi alasan untuk lebih bersatu dan berpadu untuk membina bangsa dan negara.

“Oleh itu, rakyat khususnya masyarakat Melayu dan bumiputera perlu melihat perkembangan ini dengan lebih tenang dan rasional,” katanya.

Katanya lagi, dialog, musyawarah dan keterbukaan adalah jalan terbaik untuk memperkukuh perpaduan umat dalam kerangka Malaysia yang demokratik, inklusif dan berperlembagaan.

“Yang penting bukan siapa yang mendominasi politik Melayu, tetapi bagaimana kita memastikan masa depan Islam, Melayu dan bumiputera terus terpelihara melalui pendekatan yang matang, progresif dan berteraskan kepentingan negara.

“Perpaduan sebenar tidak lahir daripada retorik politik, tetapi daripada kesediaan untuk duduk semeja, mendengar dan mencari titik persamaan demi maslahat umat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast