KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Jasri Jamaludin menyelar naratif `perpaduan’ yang digunakan UMNO dalam langkah membuka pintu kepada bekas ahli parti itu untuk kembali.
Sebaliknya, dakwa beliau, alasan perpaduan itu yang tiba-tiba muncul hanyalah keputusan terdesak UMNO untuk menutup kelemahan politik dan kekurangan sokongan terhadap parti itu.
“Perpaduan apa? Hanya untuk UMNO? Perpaduan Melayu sebenarnya lebih luas dalam gabungan pembangkang walaupun berlainan parti dan pendirian.
“Perpaduan dalam UMNO tidak lebih daripada untuk memantapkan pendirian Anwar dan konco-konconya, termasuk DAP,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mana parti itu membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama.
Kata Ahmad Zahid, sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya.
Sementara itu, Jasri turut mengimbau kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang didakwa menegaskan mana-mana pemimpin parti itu yang dipecat tidak akan dibenarkan kembali semula.
Malah, katanya, ketika tokoh UMNO seperti Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar dipecat pada 2023, tindakan itu digambarkan sebagai hukuman disiplin yang muktamad.
Tambah beliau, UMNO ketika itu menghantar isyarat jelas iaitu mana-mana ahli yang menentang kepimpinan parti akan disingkirkan dan tidak akan diterima semula buat selama-lamanya.
“Kini nada itu tiba-tiba berubah. Zahid berkata UMNO bersedia membenarkan bekas ahli kembali, kononnya atas nama “perpaduan”.
“Percanggahan ini sukar disembunyikan. Orang yang sebelum ini dituduh melanggar disiplin parti secara serius kini boleh dipertimbangkan untuk kembali,” katanya. – MalaysiaGazette

















siapa dia ni sangat bodoh lagi dungu. lebih baik diam