Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor bimbang pelaburan RM110 bilion yang diterima pada tahun lalu akan menyebabkan kemungkinan peningkatan kos sara hidup khususnya di kawasan seperti Johor Bahru.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, keadaan itu akan berlaku sekiranya pelaburan berskala besar itu tidak diurus dengan strategi sosial dan ekonomi yang seimbang.

“Tanpa perancangan yang teliti, pembangunan pesat boleh memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah melalui peningkatan harga rumah, sewaan dan kos kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebimbangan itu berasas apatah lagi masih ramai rakyat Johor yang berada dalam kategori miskin dan situasi semasa itu akan terus menekan mereka.

Dalam konteks sosial katanya, berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2025, Johor masih mempunyai kira-kira 34,000 rakyat yang berada dalam kategori miskin.

Ujarnya, pada masa yang sama, Bantuan Kasih Johor (BKJ) diagihkan kepada lebih 170,000 penerima merangkumi pelbagai kategori bantuan.

Data itu menurut beliau, menunjukkan bahawa masih ramai rakyat yang memerlukan sokongan, termasuk mereka yang tercicir daripada bantuan kerana faktor kekurangan maklumat atau tidak celik teknologi.

Pejuang Johor berpandangan bahawa kejayaan sebenar pelaburan bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan yang diumumkan, tetapi melalui perubahan nyata dalam kehidupan rakyat.

Pihaknya mengambil maklum pelaburan besar diterima itu dijangkakan mewujudkan sebanyak 24,584 peluang pekerjaan baharu.

Angka itu katanya, sememangnya satu perkembangan positif dan turut menyumbang kepada jumlah pelaburan nasional Malaysia yang mencatat rekod RM426.7 bilion.

Namun begitu, bagi Pejuang Johor, kejayaan pelaburan tidak boleh diukur melalui angka semata-mata.

“Yang lebih penting ialah sejauh mana pelaburan ini benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat Johor secara menyeluruh, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tercicir daripada sistem digital,” katanya.

Jika dibandingkan dengan data nasional katanya, Malaysia secara keseluruhan merekodkan RM426.7 bilion pelaburan dengan 244,902 peluang pekerjaan.

Johor menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah pelaburan tersebut, namun peluang pekerjaan yang diwujudkan hanya sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan, dakwanya.

Menurutnya, perbezaan itu menimbulkan persoalan yang wajar diberi perhatian, termasuk jenis pelaburan yang masuk ke negeri ini dan sejauh mana benar-benar membuka peluang pekerjaan yang mencukupi untuk rakyat tempatan.

Dalam masa yang sama katanya, terdapat beberapa aspek penting yang tidak dijelaskan secara terperinci dalam pengumuman tersebut.

Zainuddin berkata, antaranya ialah data berkaitan hasil cukai negeri atau pulangan fiskal yang bakal diterima oleh kerajaan Johor daripada pelaburan ini.

Selain itu kata beliau, komposisi antara pelaburan asing dan pelaburan domestik juga tidak diperincikan yang boleh menimbulkan risiko sebahagian besar keuntungan mengalir keluar ke luar negara tanpa memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negeri.

“Sekiranya pembangunan ekonomi yang pesat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, jumlah penerima bantuan sepatutnya dapat dikurangkan secara beransur-ansur kerana rakyat sudah mempunyai peluang pekerjaan, pendapatan yang lebih stabil, dan kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Tambahnya, rakyat tidak menolak pencapaian positif, namun mereka berhak mengetahui gambaran penuh mengenai keadaan ekonomi negeri.

Beliau menegaskan, ketelusan dalam pengumuman kerajaan amat penting supaya rakyat memahami bukan sahaja angka kejayaan, tetapi juga risiko, cabaran, serta langkah penyelesaian yang dirancang.

Pejuang Johor menuntut ketelusan dan transparensi dalam setiap pengumuman berkaitan pelaburan negeri.

“Apa yang lebih penting daripada angka besar ialah bagaimana pelaburan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Johor, termasuk golongan miskin dan mereka yang masih tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast