KUANTAN – Dakwaan terdapat upacaraya perayaan keagamaan Hindu, Pesta Kumbh Mela dianjurkan di Bukit Tinggi, Bentong tidak benar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V. Arumugam, video yang tular di media sosial memaparkan aktiviti keagamaan yang berlaku di kawasan tersebut hanyalah upacara sembahyang biasa mengikut kepercayaan penganut Hindu.
“Saya ingin menafikan dengan tegas bahawa terdapat sebarang penganjuran atau aktiviti Pesta Kumbh Mela di Bentong atau mana-mana kawasan di Negeri Pahang.
“Untuk makluman semua, Pesta Kumbh Mela merupakan perayaan keagamaan Hindu yang hanya diadakan di negara India, di lokasi-lokasi suci tertentu seperti di Sungai Ganges dan beberapa bandar utama di negara tersebut.
“Oleh itu, dakwaan bahawa pesta tersebut diadakan di Bentong adalah tidak benar dan tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular klip video berdurasi kira-kira tiga minit tular di media sosial memaparkan upacara keagamaan masyarakat Hindu itu diadakan di beberapa lokasi sungai didakwa di Pahang.
Bagaimanapun, V. Arumugam berkata, berdasarkan semakan serta kronologi sebenar tapak yang terlibat, kawasan tersebut terletak di dalam kawasan tanah milik persendirian.
“Di kawasan berkenaan juga telah lama wujud sebuah tokong Cina sejak kira-kira 25 tahun lalu. Sekitar awal tahun 2000, sebuah patung Dewa Brahma telah diletakkan berhampiran kawasan tersebut dan sejak itu penganut Hindu turut datang untuk melakukan sembahyang secara individu atau dalam kumpulan kecil.
“Kawasan bukit tersebut kemudiannya digunakan oleh sebahagian pengunjung untuk aktiviti kerohanian seperti meditasi dan yoga yang merupakan amalan biasa dalam kalangan sesetengah komuniti spiritual,” jelasnya.
Selain itu, beliau menjelaskan, individu yang dilihat memakai pakaian berwarna oren dalam video yang tular tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak pengurusan tokong atau kuil di kawasan tersebut.
Katanya, individu berkenaan dipercayai hanyalah seorang pengunjung yang hadir semasa satu upacara sembahyang yang diadakan kira-kira lima tahun lalu.
“Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau menimbulkan salah faham yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang menghormati kepelbagaian agama dan budaya dan perkara ini perlu dipelihara,” katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat dapat menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial agar tidak menimbulkan kekeliruan atau ketegangan yang tidak perlu. – MalaysiaGazette
















