KUALA LUMPUR – Kumpulan Menteri Besar (Incorporation) MBI Selangor terus fokus pada usaha penambahbaikan, ketelusan dan mengukuhkan impak kepada pembangunan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop berkata, ia termasuk mengorak langkah keluar dari Selangor dan Malaysia melalui perluasan kerjasama serta penerokaan pasaran baharu.
“Tahun ini, kita akan menganjurkan SIBS@ASEAN buat julung kalinya pada 9 hingga 11 Julai 2026 di Bandung, Indonesia.
Ini bukan sahaja membuka peluang lebih luas untuk mempromosikan kekuatan ekonomi Selangor di rantau ASEAN tetapi juga mengukuhkan kedudukan negeri Selangor sebagai pintu masuk utama pelaburan serantau,” katanya pada majlis berbuka puasa Bersama rakan-rakan media di Petaling Jaya semalam.

Selain itu, menurut Saipolyazan, pihaknya turut mengembangkan kepakaran sektor air ke peringkat global melalui kerjasama dengan Kazakhstan — satu langkah penting yang menunjukkan kemampuan Kumpulan MBI Selangor menawarkan penyelesaian
bernilai tinggi termasuk dalam bidang pengurusan air dan teknologi berkaitan.
“Ini adalah bukti bahawa jenama Selangor mula diiktiraf sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai di luar negara. Banyak lagi perkara yang sedang kita dorong – dari menarik pelaburan
strategik, memperkukuh prestasi anak syarikat, hinggalah memastikan manfaat sampai kepada rakyat yang memerlukan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau merakamkan terima kasih kepada sumbangan media.
“Media bukanlah pihak luar tetapi anda adalah rakan strategik yang membantu kami memastikan orang ramai faham apa yang sedang kita lakukan dan ke mana kita sedang menuju.
“Sebelum saya akhiri ucapan, saya doakan agar Ramadan tahun ini membawa ketenangan, kekuatan dan keberkatan untuk kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette















