Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto AIZAT ZAINAl, 14 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Siapa Ketua Pembangkang baharu dijangka menjadi tumpuan apabila kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat majlis tertingginya di ibu pejabat parti Gerakan di sini hari ini.

Pertemuan itu dilihat penting susulan perubahan kepimpinan dalam gabungan berkenaan dan peranan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sudah dipecat daripada parti.

Antara yang terawal tiba ke mesyuarat PN hari ini adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum disusuli Pengerusi PN yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden hadir mesyuarat Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAl, 14 MAC 2026.

Beberapa minit kemudian, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat memasuki pekarangan bangunan tersebut bagi menyertai mesyuarat berkenaan.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir mesyuarat Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAl, 14 MAC 2026.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin.

Mesyuarat itu merupakan antara pertemuan penting selepas perubahan struktur kepimpinan PN sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Sumber memaklumkan, antara agenda utama yang dijangka dibincangkan adalah cadangan calon bagi jawatan berkenaan sebelum ia dimuktamadkan oleh ahli Parlimen pembangkang.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua parti dalam gabungan PN mempunyai hak untuk mengemukakan cadangan calon bagi jawatan Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, mengikut perintah tetap Parlimen, keputusan akhir mengenai pelantikan individu tersebut terletak di tangan semua ahli Parlimen pembangkang.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas terbuka sekiranya mana-mana parti atau ahli Parlimen pembangkang mencadangkan sesiapa sahaja sebagai calon.

Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan siapakah tokoh yang bakal dipilih bagi mengetuai blok pembangkang di Dewan Rakyat dalam sesi Parlimen akan datang? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast