Penerbangan terus Pulau Pinang-Johor Batik Air bermula hari ini.

KUALA LUMPUR – Perjalanan antara utara dan selatan Semenanjung kini lebih singkat apabila Batik Air melancarkan penerbangan terus harian Pulau Pinang–Johor Bahru bermula hari ini.

Langkah itu menamatkan kebergantungan kepada transit di Kuala Lumpur bagi laluan berkenaan, sekali gus menawarkan alternatif lebih pantas kepada penumpang perniagaan dan pelancong.

Pelancaran laluan tersebut didorong permintaan luar jangka ketika musim Tahun Baharu Cina lalu, apabila penerbangan tambahan mencatat sambutan tinggi khususnya dalam kalangan perantau yang pulang ke kampung.

Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan utama apabila merekodkan 741,183 pergerakan penumpang pada Januari lalu.

Semenara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pula semakin berkembang sebagai pintu masuk strategik ke selatan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pembukaan laluan itu adalah respons langsung kepada keperluan pasaran yang semakin cenderung kepada perjalanan terus antara wilayah.

“Ini bukan sekadar laluan baharu, tetapi jambatan yang menghubungkan dua pusat ekonomi dan pelancongan utama negara dengan lebih efisien.

“Kami melihat permintaan yang jelas untuk penerbangan terus tanpa perlu melalui Kuala Lumpur, dan perkhidmatan ini memenuhi keperluan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penumpang pertama menerima cenderahati daripada Batik Air sebelum ke destinasi masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini.

Beliau berkata, laluan itu dijangka merangsang pergerakan pelancong domestik, mempercepat urusan perniagaan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi antara kedua-dua wilayah.

Dalam konteks Tahun Melawat Malaysia 2026, katanya, pengukuhan rangkaian domestik menjadi elemen penting bagi memastikan akses yang lebih meluas ke destinasi utama negara.

“Batik Air akan terus menilai potensi laluan baharu bagi memastikan rangkaian domestik kekal relevan dan menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta ekonomi negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast