'Dr Jalanan' yang disertai oleh enam sekawan.

KUALA LUMPUR – Berbekalkan niat untuk membantu gelendangan dan golongan miskin bandar di ibu kota mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma, enam sekawan yang pernah menjadi pegawai perubatan yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi ‘Dr Jalanan’.

Mejar Dr Alifarhan Alimudin, 34, berkata, beliau dan rakan-rakannya yang merupakan bekas pegawai perubatan tentera itu menggunakan pengalaman selama 10 tahun sebagai doktor dalam ATM sebelum ini telah menggerakkan ‘Dr Jalanan’.

Beliau berkata, ‘Dr Jalanan’ mula aktif sejak tahun lalu di bawah Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim).

Jelasnya, pendedahan dan pengalaman membantu masyarakat di kawasan pedalaman sebelum ini  menjadi penguat semangat untuk menggerakkan ‘Dr Jalanan’.

“Sepanjang kami berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia, kami banyak didedahkan dengan program-program seperti program Jiwa Murni, program Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dan banyak lagi, yang mana kami akan masuk ke dalam kawasan pedalaman atau kampung orang asli dan memberi bantuan dari segi makanan dan khidmat perubatan.

“Di samping itu, pengalaman sebagai pegawai perubatan tentera banyak mengajar saya untuk membantu dan memberi selagi mampu kepada mereka yang susah dan memerlukan, bagi memastikan mereka kembali sihat dan kuat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Ternyata, persahabatan enam bekas pegawai perubatan ATM yang terjalin sejak umur belasan tahun ketika menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD) ini sehingga menuntut di Rusia dan Mesir tidak terpadam begitu sahaja.

Pertalian itu diteruskan dengan perjuangan membantu masyarakat yang juga berkhidmat di Klinik Khidmat yang terletak di Taman Kajang Utama dan Setapak.

Dr Alifarhan berkata, setiap hari Jumaat ‘Dr Jalanan’ akan berjalan di sekitar Chow Kit untuk mencari sesiapa yang memerlukan bantuan rawatan simptomatik kepada gelandangan, membuat saringan kesihatan di Lorong Haji Taib mencuci luka dan memberi ubat mengikut keperluan.

“Kemudian kami akan ke Lorong Haji Taib dan membuka booth kecil untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan warga kota yang kurang bernasib baik,” tambahnya.

Menurut beliau, Perdim turut berkolaborasi dengan Food For Gelandangan (FFG) untuk memberi bantuan rawatan sekitar kawasan yang menjadi tumpuan gelandangan itu.

‘Dr Jalanan’ yang memberikan khidmat secara percuma kepada golongan yang memerlukan bantuan mereka.

Mengulas lanjut Dr Alifarhan berkata, beliau dan rakan-rakannya menggerakkan program ‘Dr Jalanan’ ini  kerana ingin melihat usaha mereka ini terus berkembang bagi memberikan rawatan  terbaik kepada mereka yang memerlukan.

“Mungkin suatu hari nanti kami dapat membuka satu klinik bergerak di mana kami akan ada satu kenderaan seperti ambulans,” ujar Dr Alifarhan.

Pemeriksaan kesihatan percuma digerakkan oleh ‘Dr Jalanan’ di sekitar Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur.

 

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap Dr Jalanan dapat mengajak lebih ramai doktor-doktor lain yang berminat untuk menyertai usaha sedemikian supaya lebih ramai orang susah dapat dibantu.

“Tak semestinya warga kota Kuala Lumpur sahaja, mungkin yang berada di kawasan pedalaman atau kampung orang asli juga,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast