Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

KUALA LUMPUR – ‘Saya bukan jenis orang yang takut… bila parti diserang macam ini, saya tak boleh duduk diam.”

Itu penegasan Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan ketika tampil mempertahankan parti susulan dakwaan mengaitkan PKR dengan isu ‘mafia korporat oleh individu bernama Victor Chin semalam.

Menurut Ramanan, beliau sebelum ini memilih untuk berdiam diri, namun serangan berterusan terutamanya daripada bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap parti memaksanya tampil bersuara bagi memperbetulkan persepsi awam.

“Saya sudah lama diam. Tapi bila parti diserang macam ini dan dibuat pelbagai implikasi, saya ada tanggungjawab sebagai naib presiden untuk jelaskan perkara sebenar. Kalau kita terus diam, orang akan anggap ia benar,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam masa sama, Ramanan secara terbuka mengkritik Rafizi yang didakwa memainkan naratif mengelirukan berhubung isu tersebut.

“Dia adalah menteri yang gagal. Apa kejayaan dia? Padu? Vending machine? Apa kejayaan dia? Bagi saya dia seorang penakut. Dia tahu dia sudah gagal, sebab itu cepat-cepat letak jawatan,” dakwanya.

Dakwa beliau, Rafizi kini kembali kepada pendekatan lama dengan menyerang pihak lain dan cuba menonjolkan diri.

“Sekarang dia buat apa? Dia buat kerja lama, hentam sana sini, tunjuk dia paling hebat. Tapi mana kehebatan dia masa jadi menteri? Saya sendiri keliru,” katanya.

Mafia korporat: Rafizi dakwa wujud persekongkolan dalam sistem penguatkuasaan

Ramanan turut mendakwa wujud gerakan ‘cybertrooper’ yang menyerangnya bagi membentuk persepsi negatif terhadap dirinya.

“Memang kita lihat kebelakangan ini, ‘cybertrooper’ bekas timbalan presiden menyerang saya seolah-olah saya yang buat kesalahan ini, seolah-olah saya bersekongkol dan melindungi pihak tertentu termasuk Victor.

Ramanan turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang dilihat mempertikaikan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Dia nampak macam melindungi ‘corporate mafia’. Dia kata agensi kerajaan salah, SPRM tak betul, AMLA tak betul. Apa niat dia? Kenapa lindungi pihak seperti ini?” katanya.

Beliau mendakwa serangan terhadap parti itu bertujuan untuk melindungi pihak tertentu.

“Kes macam ini, dia hentam parti untuk selamatkan orang tertentu. Apa agenda sebenar dia,” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kekeliruan dan persepsi awam perlu ditangani segera bagi mengelakkan naratif tidak tepat terus berleluasa.

“Bila seseorang bercakap dan kita tidak jawab, ia akan nampak seolah-olah apa yang dia cakap itu benar. Sebab itu perlu ada pihak yang tampil bersuara dan betulkan keadaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ramanan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkannya dengan ahli perniagaan, Victor Chin, termasuk tuduhan menerima RM9.5 juta serta penglibatan dalam isu pemindahan saham.

Beliau menegaskan tidak pernah mengenali atau berurusan dengan individu tersebut, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai naratif jahat dan tidak bertanggungjawab. -MalaysiaGazette

Mafia korporat: Victor Chin dakwa serah RM9.5 juta kepada MP PKR

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast