KUALA LUMPUR – PKR memandang serius dakwaan yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu, termasuk dakwaan melibatkan elemen “mafia korporat”.
Setiausaha Agungnya, Datuk Fuziah Salleh berkata, parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan tanpa sebarang asas yang sahih.
Tegasnya, tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti.
“KEADILAN ingin menegaskan bahawa tuduhan seumpama ini amat mudah untuk dibuat, lebih-lebih lagi oleh pihak-pihak yang terdesak untuk melepaskan diri daripada kesalahan atau salah laku mereka sendiri.
“Justeru, sebarang dakwaan yang dilemparkan tanpa bukti kukuh tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/03/25/ramanan-cabar-victor-chin-dedahkan-siapa-mr-r/
Tambah beliau, PKR kekal komited untuk mempertahankan integriti kepimpinan serta memastikan sebarang tuduhan yang dibangkitkan ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta, bukannya persepsi atau agenda tertentu.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran dakwaan yang tidak disahkan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kestabilan politik negara. -MalaysiaGazette
















