Cheng Chuan (tengah) mengadakan pertemuan dengan Mohamad Hafiz dan Azwan Ariaf di Felda Palong, Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Kontraktor ladang seluruh negara berdepan masalah ‘gulung tikar’ susulan kenaikan harga diesel kesan daripada konflik di Timur Tengah.

Pengerusi Pertubuhan Pemborong Ladang Malaysia, Datuk Lee Cheng Chuan berkata, pihak kontraktor berdepan kesukaran kerana tidak menerima subsidi kerajaan dan harga diesel sepenuhnya bergantung dengan pasaran antarabangsa.

“Kesan ketegangan di Timur Tengah telah menyebabkan harga diesel untuk industri di negara ini melonjak hampir 139 peratus dalam tempoh hanya tiga minggu.

“Kenaikan mendadak ini mengakibatkan kos operasi kontraktor ladang meningkat secara ketara hingga sukar ditanggung, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya gelombang penutupan perniagaan dalam industri tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu beliau melakukan pertemuan dengan Pengurus Felda Palong 7, Mohamad Hafiz dan Pengurus Felda Plantation Management (FPM), Azwan Ariaf di Felda Palong di sini hari ini.

Katanya, perbezaan harga diesel amat ketara, contohnya pada 28 Februari lalu harganya RM2.85 seliter dan kini melonjak antara RM6.40 hingga RM6.80 seliter.

Beliau berkata, kontraktor amat bergantung kepada penggunaan jentera berat yang memerlukan jumlah bahan api yang tinggi.

“Tanpa subsidi, tekanan kos semakin meningkat dan sebahagian pengusaha sudah tidak mampu membeli diesel, lalu terpaksa menghentikan operasi,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan projek dimulakan pada awal tahun ini dan kini sudah melebihi separuh kemajuan.

Namun katanya, kenaikan harga diesel secara mendadak menyebabkan kontraktor sukar menyiapkan projek mengikut kontrak, malah berdepan masalah aliran tunai serta risiko jentera disita oleh pihak bank.

Beliau turut menegaskan pekebun kecil di bawah Felcra Berhad, Felda dan Risda akan terkesan kerana kerja penanaman semula dan pembangunan banyak bergantung kepada kontraktor.

Cheng Chuan berkata, lazimnya pokok kelapa sawit boleh dituai dalam tempoh kira-kira tiga tahun tetapi akibat kelewatan projek, tempoh tuaian dijangka berlanjutan sehingga setahun lagi.

“Ketika ini, harga diesel runcit di Thailand adalah sekitar RM3.65 seliter, di China sekitar RM4.00 seliter manakala di Malaysia mencecah RM5.52 seliter.

“Mengapa negara kita sebagai pengeluar minyak mempunyai harga lebih tinggi berbanding negara bukan pengeluar? Mengapa kerajaan tidak dapat menyediakan bantuan kepada kontraktor ladang,” soalnya.

Beliau menambah, bahawa kebanyakan kontraktor kini berada dalam keadaan tertekan dan berjuang untuk bertahan, malah berdepan risiko gulung tikar.

Justeru, beliau menggesa kerajaan agar memandang serius kesan yang ditanggung oleh kontraktor ladang dalam situasi ini dan segera menyediakan bantuan yang sewajarnya bagi membantu industri mengharungi kesukaran ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast