KUALA LUMPUR – Perlis dan sembilan daerah di Kedah merekodkan cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sehingga pukul 4 petang tadi.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) berkata, cuaca panas di Kedah direkodkan di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Sik dan Baling.
“Tahap Berjaga-Jaga: Suhu maksimum harian 35-37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut.
“Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, boleh rujuk kepada https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/, ” kata MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook miliknya di sini hari ini.
Selain itu, infografik perkembangan cuaca panas semasa menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia turut merekodkan suhu di negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah terkawal dengan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah. – MalaysiaGazette
















