Mohd Hairi menerima cenderahati daripada Ismail dalam Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2026 anjuran Teraju di Opero Hotel, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri sedang merangka dan memperhalusi beberapa inisiatif baharu khusus untuk memperkukuh lagi ekosistem keusahawanan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang tidak memperincikan inisiatif baharu tersebut berkata, perkara berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita akan dapat berkongsi berita baik yang lebih besar dan lebih signifikan kepada seluruh usahawan Johor yang bukan sahaja memberi manfaat daripada segi pembiayaan tetapi juga daripada aspek pembangunan, jaringan dan peluasan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2026 anjuran Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Teraju) di Opero Hotel di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Teraju, Datuk Ismail Karim, Naib Presiden II Teraju, Datuk Abd Latif Bandi dan Timbalan Pengerusi Biro Kontraktor Teraju, Datuk Seri Mohd Effandie Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hairi menggesa usahawan bumiputera di Johor merebut peluang pertumbuhan ekonomi yang semakin terbuka khususnya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), bagi melangkah ke pasaran lebih luas termasuk ke peringkat antarabangsa.

Katanya, Johor kini berada pada landasan kukuh dengan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan sekali gus membuka ruang besar kepada usahawan tempatan.

“Johor kini berada pada landasan yang sangat kukuh dengan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan, termasuk melalui inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan tersebut bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah membuka akses pasaran baharu yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.

“Ini bukan sekadar membuka peluang pekerjaan tetapi lebih penting membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, kekuatan sebenar masyarakat usahawan Johor terletak pada semangat kebersamaan dan sokongan antara satu sama lain.

“Inilah kekuatan sebenar yang perlu kita pelihara, usahawan yang bukan sahaja berjaya secara individu, tetapi bergerak sebagai satu ekosistem yang saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kekal komited memperkasa sektor keusahawanan sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.

Melalui pelbagai agensi termasuk Perbadanan Usahawan Johor dan rakan strategik, Mohd Hairi berkata, Johor melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong usahawannya.

“Antara inisiatif tersebut termasuk penyediaan pembiayaan dan akses modal kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana, program pembangunan kapasiti serta latihan keusahawanan,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan turut menyediakan platform pemasaran berskala besar serta menggalakkan pendigitalan perniagaan bagi memastikan usahawan kekal berdaya saing.

Semua itu selari dengan aspirasi Agenda Maju Johor 2030 yang menekankan pembangunan ekonomi menyeluruh, katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru usahawan agar bersedia menghadapi peringkat pertumbuhan baharu dengan lebih berani dan berdaya inovasi.

“Kita tidak boleh sekadar berniaga untuk bertahan, tetapi perlu berniaga untuk berkembang, berinovasi dan menembusi pasaran sejagat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast