JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan untuk melaksana lima langkah bagi menyelamatkan kira-kira 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) gulung tikar akibat krisis di Asia Barat.
Ketua Penerangan Bersatu Johor, Syafiq Aziz berkata, pertamanya dengan membentangkan pelan intervensi yang jelas dan menyeluruh untuk berdepan dengan situasi mencabar tersebut.
“Keduanya melaksanakan moratorium bersasar kepada PKS yang terjejas, ketiga pula menubuhkan dana kecemasan bagi sektor-sektor kritikal.
“Sementara keempat melaksanakan intervensi segera terhadap kos logistik dan tenaga manakala kelima memperkenalkan pelan perlindungan pekerjaan di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Teraju), Datuk Ismail Karim dilaporkan berkata, kira-kira 40,000 PKS di Johor berisiko gulung tikar akibat krisis tersebut.
Ismail berkata, ini kerana kesan yang akan dirasai lebih teruk daripada krisis kewangan pada 1997, pandemik Covid-19 atau mana-mana krisis sebelum ini.
Mengulas lanjut, Syafiq berkata, jangkaan diberikan Ismail itu merupakan satu isyarat serius bahawa ekonomi negara sedang memasuki fasa yang membimbangkan.
Tegasnya, kerajaan tidak boleh terus berlengah dengan alasan kajian atau penilaian semata-mata sebaliknya memerlukan tindakan yang pantas, berani dan berpandangan jauh.
“Sekiranya kerajaan terus gagal bertindak dengan berkesan, krisis ini tidak lagi boleh dilihat sebagai kesan faktor global semata-mata, tetapi akan menjadi cerminan jelas kepada kelemahan pentadbiran negara,” katanya.
Katanya, krisis itu bukan berlaku secara tiba-tiba kerana kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik telah menunjukkan tanda-tanda awal sejak berbulan lalu.
Malangnya sehingga hari ini kata Syafiq, kerajaan masih gagal mengemukakan pelan tindakan yang jelas, menyeluruh dan segera.
Di peringkat lapangan, realitinya jauh berbeza daripada naratif rasmi, katanya.
“Kos operasi meningkat secara mendadak, margin keuntungan PKS semakin mengecil dan peniaga mula mengurangkan operasi untuk terus bertahan,” ujarnya.
Keadaan itu katanya, bukan lagi soal angka pertumbuhan ekonomi di atas kertas, tetapi soal kelangsungan hidup perniagaan dan pekerjaan rakyat.
Menurutnya, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee turut memberi amaran bahawa gangguan rantaian bekalan serta kenaikan kos tenaga akan terus menghimpit margin keuntungan pengilang sekiranya ketegangan di Asia Barat berlarutan.
Pengilang terpaksa berdepan dengan kos input lebih tinggi yang akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan pengguna sekiranya tiada langkah intervensi diambil, katanya.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa krisis global berada di luar kawalan. Namun, kegagalan mengurus kesan krisis adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya.
Kerajaan katanya, tidak boleh sekadar bertindak secara reaktif berdasarkan turun naik harga minyak dunia, sebaliknya perlu melaksanakan langkah intervensi yang proaktif bagi melindungi sektor PKS dan perkilangan di Johor.
“Semasa pandemik Covid-19, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuktikan bahawa langkah drastik seperti moratorium pinjaman dan bantuan bersasar boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Persoalannya, kata beliau, mengapa dalam krisis yang semakin jelas hari ini, kerajaan dilihat lambat, tidak tegas dan seolah-olah tidak mempunyai keutamaan yang jelas?
Tambahnya, jika kelewatan ini berterusan, negara berisiko berdepan dengan gelombang penutupan PKS, pembuangan pekerja secara besar-besaran serta kenaikan harga barang yang tidak terkawal.
Syafiq berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan ekonomi, malah berpotensi menggugat kestabilan sosial Johor.
“Rakyat sedang memerhati dan kesan daripada kegagalan hari ini akan menentukan masa depan ekonomi negara,” katanya.- MalaysiaGazette















