Teng Chang Khim
Teng Chang Khim

KUALA LUMPUR — Kenyataan pedas veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim berhubung kenaikan harga bahan api mengundang perhatian apabila beliau secara terbuka membidas pihak yang terus mempersoalkan situasi tersebut walaupun ia berpunca daripada faktor global.

Menurut bekas Speaker Dewan Negeri Selangor itu, lonjakan harga bahan api bukan isu tempatan semata-mata sebaliknya kesan langsung daripada konflik antarabangsa yang menjejaskan rantaian bekalan minyak dunia.

“Nak bising apa lagi? Setiap pelosok dunia sedang berdepan kesan perang Amerika Syarikat–Iran yang menjejaskan rantaian bekalan minyak. Negara mana yang rakyatnya tidak terasa tempias dan kesusahan?” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kerajaan sedangkan puncanya melibatkan krisis geopolitik di luar kawalan negara.

Malah Chang Khim turut menyindir pihak yang enggan menerima realiti semasa dengan kenyataan sinis yang pantas tular di media sosial.

“Kalau tak boleh terima atau tak mampu menyesuaikan diri, pindahlah duduk di bulan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengkritik tindakan sesetengah pihak yang menurutnya gemar mengadakan sidang media berlebihan kononnya untuk memperjuangkan isu rakyat.

Jelasnya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak membantu meredakan keadaan malah berpotensi mencetuskan panik serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Golongan tidak berguna ini, kalau kurangkan sedikit sidang media yang beria-ia itu pun sudah boleh membantu mengurangkan penggunaan petrol, sekali gus mengurangkan tekanan dan beban.

“Sidang media seperti ini — selain untuk tambah publisiti menjelang pilihan raya akan datang — ada kegunaan sebenar ke?” soalnya lagi.

Beliau berpandangan, tumpuan seharusnya diberikan kepada penyelesaian realistik dan usaha menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi global, bukannya retorik berpanjangan yang menurutnya tidak membawa manfaat kepada rakyat. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast