KUALA LUMPUR – Seorang warganegara Switzerland ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah seberat 3.3 kilogram di Balai Ketibaan, Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Mac lalu.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan Orang Yang Disyaki (OYDS) yang cuba memasuki Malaysia dari sebuah negara Asia Tenggara telah disekat oleh anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di KLIA.
Pemeriksaan mendapati imbasan terhadap kotak water hose reel yang dibawanya menunjukkan imej mencurigakan dipercayai berada di dalam peralatan tersebut.
“Pemeriksaan rapi yang telah dilakukan oleh pasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemukan bungkusan hitam yang dilekatkan di dalam water hose reel tersebut disyaki mengandungi dadah jenis heroin.
“OYDS dan barang kes seterusnya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA untuk siasatan lanjut.
“Anggaran berat kasar dadah tersebut adalah sebanyak 3,324 gram dan nilai rampasan sebanyak RM265,920,” katanya.
Menurut JKDM, heroin disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952, dan OYDS telah dituduh di mahkamah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati. – MalaysiaGazette
















