KUALA LUMPUR – Megademy Global memperkenalkan pendekatan kecerdasan buatan (AI) berteraskan amalan Silicon Valley serta melancarkan penyelesaian Intelligent SalesForce Multiplier (ISM) dalam sesi taklimat eksekutif baru-baru ini, yang menekankan AI sebagai strategi perniagaan dipacu kepimpinan tertinggi bagi meningkatkan jualan dan kecekapan operasi syarikat.
Program bertajuk “Silicon Valley AI Advantage – What Malaysian CEOs Must Understand Now” itu menghimpunkan ketua pegawai eksekutif (CEO), pengarah dan pemimpin perniagaan untuk memahami peranan AI yang bukan sekadar teknologi, sebaliknya pemacu transformasi organisasi.
Megademy Global dalam kenyataan berkata, acara tersebut turut mendapat sokongan ASEAN Influential Award yang menekankan kepentingan kepimpinan progresif dalam memperkukuh inovasi serta daya saing di peringkat serantau.
Pada majlis sama, Megademy Global memperkenalkan ISM sebagai penyelesaian AI yang mampu mengautomasi interaksi pelanggan, meningkatkan kadar penukaran jualan dan membantu syarikat mengembangkan operasi tanpa penambahan tenaga kerja.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Megademy Global, Lee Siew Hock berkata, cabaran utama dalam penggunaan AI bukan terletak pada teknologi, tetapi aspek pelaksanaan dalam organisasi.
Menurut beliau, sistem itu boleh diintegrasikan dengan e-mel serta sistem sedia ada syarikat, membolehkan AI mengendalikan pertanyaan pelanggan termasuk berkaitan stok, maklumat produk dan rekod pembelian.
“ISM berfungsi sebagai tenaga jualan digital yang menyokong proses jualan selain bertindak sebagai konsultan kepada organisasi dalam memperkukuh strategi perniagaan,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, pakar AI dari Silicon Valley, Dr PJ Tan turut berkongsi pengalaman bagaimana syarikat global memanfaatkan AI untuk meningkatkan hasil serta mengurangkan kos operasi.
katanya, antara fokus utama yang diketengahkan termasuk automasi interaksi pelanggan, sistem penukaran jualan, kecekapan operasi serta tahap kesiapsiagaan AI dalam organisasi.
Megademy Global memaklumkan ISM dibangunkan dengan penekanan terhadap keperluan tempatan bagi membolehkan syarikat Malaysia mengadaptasi pendekatan AI Silicon Valley secara praktikal.
Peserta program turut ditawarkan sesi diagnostik AI serta demonstrasi percuma bagi mengenal pasti potensi penggunaan teknologi berkenaan dalam organisasi masing-masing. – MalaysiaGazette
















